TANJUNG MALIM – Pasukan Instisusi Pertahanan Awam (PISPA) Angkatan Pertahanan Awam (APM) berjaya menarik kira-kira 20,000 ahli sebagai sukarelawan terlatih yang membantu negara menghadapi bencana alam ekoran perubahan iklim dan cuaca yang tidak menentu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, setakat ini terdapat 20,000 ahli PISPA dan jumlah itu akan meningkat setiap tahun yang menunjukkan minat pelajar politeknik menyertai badan beruniform dan khidmat kesukarelawanan.
“Kita nak tambah bilangan dan kemahiran supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan semasa bencana berlaku untuk membantu rakyat.
“Hari ini bencana tiada musim, sepanjang tahun tentu dengan penglibatan ramai sukarelawan dapat membantu. APM ada anggota tetap seramai 4,000 orang,” katanya kepada pemberita di Dewan Muallim, Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan pemakaian pangkat dan penyerahan watikah pegawai bersekutu melibatkan 220 pelajar daripada 20 politeknik di seluruh negara serta 29 pegawai kehormat dan bersekutu pada Majlis Pentauliahan PISPA sempena Perkhemahan dan Pentauliahan Tahunan Pertahanan Awam Malaysia POLYCC Pertama (MalCiDAC) 2025. – KOSMO! ONLINE