PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama New Energy Asia Sdn. Bhd. (New Energy Asia) bagi kerjasama pelaksanaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) secara bersama.
MoC itu ditandatangani menerusi anak syarikat solar komersial dan industri (C&I) miliknya, Malakoff Radiance Sdn. Bhd. (MRSB).
Malakoff dalam kenyataan berkata kerjasama ini bertujuan membangunkan penyelesaian bersepadu yang menggabungkan sistem tenaga solar dan pengecasan EV untuk menyokong mobiliti tanpa karbon.
Selain itu, Malkoff berkata kolabrasi ini juga bertujuan untuk berkongsi kepakaran teknikal dan sumber bagi pelaksanaan yang berkesan serta meneroka peluang perniagaan di seluruh rantau ASEAN.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuh portfolio tenaga boleh baharu (RE).
Beliau berkata, baru-baru ini, Malakoff memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar berskala tunggal terbesar berkapasiti 4.22 MWp – bersama HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd.
“Ia susulan kejayaan pemasangan 2.0 MWp di fasiliti yang sama di Pekan, yang telah mengurangkan penggunaan elektrik grid sebanyak kira-kira 7.0 GWh dan mengelakkan hampir 5,489 tCO₂e dalam
pelepasan.
“Kerjasama bersama New Energy Asia merupakan lanjutan semula jadi kepada momentum tersebut, membolehkan kami menggabungkan penyelesaian mobiliti bersih bersama infrastruktur solar kami, sekaligus memberi nilai tambah dalam ekosistem tenaga bersih,” katanya.
Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak akan memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam mempercepat pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian tenaga rendah karbon yang mampan di seluruh negara.
MoC ini turut mengukuhkan kolaborasi yang memfokuskan kepada pengintegrasian penyelesaian pengecasan EV berteknologi tinggi dengan infrastruktur solar Malakoff. – KOSMO! ONLINE