SEBELUM ini, Clarissa Fenia Raymond menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
Namun, semuanya berubah apabila dia terlibat dalam satu kemalangan pada usianya 14 tahun.
“Kemalangan itu berlaku ketika saya bersama ibu dan kakak untuk ke sekolah.
“Kereta yang saya naiki terbabas dan selepas kemalangan saya menjalani pembedahan sebanyak dua kali dan kesan daripada kemalangan tersebut saya tidak dapat berjalan dan harus menggunakan kerusi roda,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Tambahnya, dia tidak dapat berjalan kerana saraf kakinya terkena serpihan tulang yang patah.
Kemalangan itu ternyata telah mengubah hidup Clarissa dan dia tidak dapat hidup dengan normal lagi.
Malah, sukar untuknya menerima kenyataan bahawa dia menjadi orang kelainan upaya (OKU).
“Sewaktu saya berjumpa dengan pegawai kebajikan dan mereka ingin menyerahkan kad OKU, saya tidak mahu mengambilnya pada ketika itu.
“Lama saya mengambil masa untuk menerima hakikat ini dan sehingga sekarang ada ketikanya saya akan merasa ‘down’ dan sedih,” jelasnya yang berasal dari Telupid, Sabah.
Meskipun terpaksa menjalani kehidupan dengan kerusi roda, Clarissa tetap mengutamakan pendidikan.
Setelah tamat alam persekolahan, dia kemudian menyambung pengajian ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Seterusnya dia mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang jahitan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP).

“Di PLPP saya mengambil kemahiran menjahit dan saya boleh menghasilkan baju sendiri.
“Mungkin ramai yang akan tertawa apabila saya menyatakan saya ada mengambil kemahiran menjahit. Walaupun dalam keadaan begini saya masih boleh menjahit,” ujarnya.
Usaha untuk Clarissa mendapatkan pendidikan tidak terhenti di situ sahaja, malah dia juga mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di UPM dan kini berada pada semester kedua.
Salah satu sebab yang mendorongnya untuk belajar di UPM adalah dia ingin membuktikan bahawa dirinya boleh berdikari meskipun tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
“Saya memikirkan tentang masa hadapan, di mana-mana tempat untuk bekerja mereka memerlukan satu pengiktirafan dalam pendidikan.
“Saya tidak menjadikan kekurangan diri sebagai satu halangan untuk menimba ilmu,” katanya yang merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik.
Dalam masa yang sama, Clarissa menitipkan rasa syukur kerana pihak UPM menyediakan kemudahan kepada golongan OKU sepertinya untuk menuntut ilmu di situ.
“Pihak UPM menyediakan pelbagai kemudahan yang mesra untuk OKU dan ia memudahkan saya serta rakan-rakan OKU yang lain untuk belajar.
“Kemudahan untuk kami menuntut ilmu di UPM ini amat mencukupi,” katanya.
Walaupun dirinya tidak sempurna dari segi fizikal, ia tidak menjadi halangan untuk Clarissa bergerak aktif dengan aktiviti luar.
Malah, dia kini aktif dengan aktiviti menyelam skuba.
Dia menyertai satu organisasi yang bekerjasama dengan UPM yang memberi peluang kepada OKU untuk mencuba aktviti tersebut.
Selain itu, dia juga sebelum ini terlibat dengan sukan memanah dan mewakili Wilayah Persekutuan untuk Para Sukma 2024 yang berlangsung di Sarawak.
Ketika ditanya tentang perancangan masa hadapannya, Clarissa menjelaskan jika mendapat peluang dia ingin menjadi seorang usahawan.
“Selain itu, saya juga ingin bekerja terlebih dahulu dan saya berharap saya mendapat peluang tersebut meskipun diri tidak sempurna.
“Saya tahu persaingan pekerjaan untuk golongan seperti saya amat tinggi, tetapi saya berharap kami diberi peluang yang lebih banyak untuk bekerja,” ujarnya.














