PETALING JAYA – Penduduk Taman Jasmin resah apabila sekumpulan pencuri dikesan berkeliaran di kawasan perumahan, dipercayai cuba menceroboh beberapa buah rumah di Kajang, semalam.
Menerusi perkongsian akaun Threads, wanita dikenali sebagai Fazirakama mendakwa menerima notifikasi mencurigakan daripada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) rumahnya yang pernah dipecah masuk sebelum ini.
“Semalam malam paling menakutkan. Ada sekumpulan pencuri lalu belakang rumah. Mujur kami cepat ‘alert’ dan jiran-jiran terus bantu.
“Ramai kali ini datang. Saya selalu dapat notifikasi bila musang lalu, tapi kali ini ‘bapak musang’ dan kawan-kawan dia pula datang. Mujur polis segera tiba dan aktifkan rondaan di kawasan ni,” katanya.
Menurut Fazirakama, kerja-kerja pemotongan pokok turut dijalankan di kawasan berhampiran bagi meningkatkan tahap penglihatan dan keselamatan.
Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mengunci pintu dan tingkap setiap kali keluar atau sebelum tidur bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – KOSMO! ONLINE