PETALING JAYA – Suasana dalam sebuah restoran menjadi kecoh apabila beberapa das tembakan dilepaskan dalam satu kejadian di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, malam tadi.
Menerusi video tular rakaman televisyen litar tertutup dalam restoran tersebut, keadaan yang tenang ketika makan malam menjadi panik akibat kejadian itu.
Kelihatan ada yang membawa anak kecil berlari dari luar kedai selain ada cuba bersembunyi di bawah meja.
Pekerja yang menghidang makanan juga turut kelihatan panik dan lari meninggalkan meja pelanggan.
Di akhir video setelah merasakan keadaan mulai selamat, beberapa buah keluarga bergegas melarikan diri dari pintu restoran untuk menyelamatkan diri.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas ditembak dua individu bermotosikal dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambathan, Brickfield, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10.45 malam.
“Sewaktu kejadian, ketiga-tiga mangsa berusia antara 20 hingga 40 tahun berada di restoran tersebut sebelum didatangani dua lelaki bermotosikal.
“Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Ku Mashariman berkata, seorang mangsa mengalami kecederaan serius, manakala seorang lagi cedera ringan dan sedang dirawat di PPUM. – KOSMO! ONLINE