KULAI – Seorang penunggang basikal warga Singapura berusia 42 tahun maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat digilis sebuah treler ketika melakukan aktiviti berbasikal bersama rakannya dalam kejadian pukul 9.45 pagi di Jalan Gunung Pulai di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa dipercayai terjatuh selepas basikal yang ditunggangnya melanggar lubang di jalan tersebut sebelum dirempuh sebuah treler jenis Hanvan dipandu lelaki berusia 41 tahun yang dalam perjalanan ke Singapura membawa muatan batu.
“Pemandu treler tidak sempat mengelak mangsa lalu melanggarnya. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.,” katanya dalam kenyataan.
Seng Lee berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-306 3710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE