fbpx

Calon SPM tikam ibu, abang tertekan dipaksa belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POLIS menahan suspek berusia 17 tahun selepas dipercayai membunuh ibu dan abangnya di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Melaka.

MELAKA – Seorang guru wanita dan anak lelakinya ditemui mati dipercayai akibat dibunuh, manakala seorang lagi ahli keluarga itu parah dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, di sini, awal pagi tadi.

Dalam tragedi kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa yang masing-masing berusia 51 dan 21 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu, manakala mangsa yang terselamat berada di kawasan garaj kediaman tersebut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal pihak polis di lokasi telah membawa kepada penahanan suspek berusia 17 tahun yang juga merupakan anak kedua keluarga berkenaan.

Katanya, turut dirampas adalah sebilah pisau lipat dengan anggaran panjang 20 sentimeter yang disimpan di dalam beg sekolah milik suspek.

“Mangsa wanita merupakan seorang guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan anak sulungnya adalah pelajar kolej.

“Kedua-dua mereka mati dipercayai akibat ditikam suspek menggunakan pisau lipat dengan kesan tikaman di leher, pinggang dan belakang badan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang, hari ini.

Tambahnya, mangsa yang terselamat merupakan anak bongsu keluarga tersebut dan kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat kecederaan ditikam.

Mengulas lanjut beliau berkata, motif kejadian dipercayai disebabkan dendam susulan kedua-dua mangsa yang mati didakwa sering memarahi suspek dan memaksanya mengulang kaji pelajaran.

“Kita syak suspek menyimpan dendam terhadap si mati kerana jiran tetangga mendakwa keadaan rumah tersebut sering berlaku pergaduhan dan remaja itu mengalami tekanan kerana dipaksa belajar, mungkin kerana dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jenayah ini telah dirancang suspek kerana pisau tersebut telah dibelinya, malah remaja itu juga cuba menghapuskan barang bukti termasuk pakaian dengan kesan darah ke kawasan semak berhampiran tetapi kita berjaya mencarinya,” jelasnya.

Ujarnya lagi, pengakuan awal dibuat suspek mendakwa dia cuba membunuh guru tersebut ketika mangsa berada di dalam bilik tidur sebelum kejadian disedari oleh abangnya yang kemudian turut terkena tikaman ketika bergelut untuk menyelamatkan ibu mereka.

Katanya, suspek selepas itu cuba membunuh adiknya berusia 13 tahun selepas mangsa yang diarahkan untuk keluar dari rumah tersebut enggan berbuat demikian.

“Mungkin remaja itu tidak ada dendam atau marah dengan adiknya, jadi dia suruh keluar dari rumah tetapi mangsa tidak mahu lalu dia turut ditikam.

“Mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan ditemui berlumuran darah di garaj rumah sebelum diselamatkan jiran selepas dia menjerit meminta tolong,”katanya.

Dzulkhairi berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI