IPOH – Polis menasihatkan pemandu bas yang terlibat dalam nahas meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik kelmarin supaya tidak mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada mana-mana pihak.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sebarang kenyataan yang dibuat itu bukan sahaja dikhuatiri mengganggu siasatan pihak berkuasa, malah akan menimbulkan spekulasi lain.
“Saya ingin menasihatkan pemandu bas agar tidak membuat kenyataan kepada pihak lain kerana kita khuatir apa juga kenyataan yang diberikan mungkin akan mengganggu siasatan.
“Kalau boleh, bersabarlah sedikit. Tunggu sehingga kenyataan direkodkan terlebih dahulu, selepas itu baru boleh bercakap apa yang dia mahu.
“Apapun, kita tidak boleh paksa. Dia berhak untuk bersuara dan pihak polis hanya boleh menasihatkan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Noor Hisam berkata, dakwaan mengenai masalah teknikal termasuk kegagalan fungsi brek seperti yang dimaklumkan pemandu bas tersebut hanya boleh disahkan oleh agensi berkaitan.
Katanya, siasatan penuh berhubung kenderaan itu perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum kesimpulan dibuat.
Kosmo! Online semalam melaporkan pemandu bas berusia 39 tahun mendakwa kegagalan brek menyebabkan kenderaan yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli, Gerik awal pagi kelmarin. – KOSMO! ONLINE