BESUT – Keluarga mangsa nahas bas persiaran yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi melakukan siasatan.
Bapa salah seorang mangsa, Nik Nor Zabir Nik Chik, 65, berkata, tindakan sewajarnya diambil sekiranya siasatan kelak mendapati kemalangan itu disebabkan kesilapan manusia atau kenderaan.
“Walaupun reda, saya amat berduka dengan kehilangan anak, Nik Amni Nadiah, 21, dan 14 rakan sekampusnya yang lain.
“Saya sudah melihat klip video rakaman pemanduan bas terbabit sebelum kemalangan yang tersebar di media sosial mahu tidak mahu membuat spekulasi sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Rawa di sini hari ini.
Nik Nor Zabir berkata, arwah anaknya, Nik Amni Nadiah kerap menaiki bas persiaran sewaan khas untuk pulang ke kampus sebelum ini namun tiada perkara tidak diingini berlaku.
Sementara itu, ibu kepada mangsa maut, Norhayati Mat Hassan, 48, turut menaruh kepercayaan terhadap pihak berkuasa bagi melakukan siasatan.
Katanya, setakat ini, dia dan keluarga tidak berhastat untuk mengambil tindakan perundangan bersendirian terhadap pihak bertanggungjawab.
Kosmo! sebelum ini melaporkan 15 maut manakala 27 pelajar UPSI cedera setelah bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Gerik, Perak semalam. – KOSMO! ONLINE