HARI Raya Aidiladha atau turut disebut Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji merupakan salah satu hari terpenting dalam kalendar umat Islam.
Aidiladha juga mempunyai keistimewaan tersendiri dan salah satunya ialah ibadah korban iaitu menyembelih haiwan ternakan.
Secara asasnya, sambutan Hari Raya Aidiladha merupakan satu cara untuk kita memperingati ketaatan Nabi Ibrahim A.S yang sanggup mengorbankan anaknya atas perintah Allah SWT. Kisah ini menjadi lambang kepada ketaatan mutlak manusia kepada Penciptanya.
Di Malaysia, korban merupakan antara ibadah yang paling dinanti-nantikan oleh semua. Secara tradisinya, ibadah ini biasanya dianjurkan oleh pihak surau ataupun masjid di komuniti masing-masing.
Di peringkat yang lebih besar, ada juga agensi-agensi kerajaan termasuk badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang sama-sama meraikan ibadah ini.
Daging korban terbahagi kepada tiga bahagian iaitu diri sendiri dan keluarga, jiran atau rakan serta untuk fakir miskin.
Daripada tiga golongan ini, kumpulan fakir miskin adalah kumpulan penerima yang perlu diberi keutamaan. Atas sebab itulah ramai rakyat Malaysia mengambil peluang menaja ibadah korban khusus untuk golongan ini, termasuklah mereka yang berada di negara-negara miskin.
Bagaimanapun, apa yang berlaku dan sering dibangkitkan adalah berkenaan isu pembahagian daging korban. Walaupun isunya mungkin agak terpencil, namun kesannya kepada komuniti dan agama sangat besar.
Harus diingat bahawa amalan berkorban ini bukan sekadar menyembelih haiwan, tetapi lebih untuk menyemai nilai keadilan, kasih sayang dan tanggungjawab sosial sesama umat.
Atas sebab itu, pihak penganjur perlu lebih teliti dan menyusun senarai penerima mengikut keutamaan. Carilah sebanyak mungkin golongan yang kurang berkemampuan.
Mereka ini ada di merata-rata tempat terdiri daripada ibu tunggal, orang tua, fakir miskin, anak yatim dan keluarga yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Kita perlu beringat bahawa kehidupan ini ibarat roda. Ada masa kita di atas (penyumbang) dan ada masanya kita akan jatuh dan berada di bawah (penerima sumbangan).
Rasa bersyukur dan menyedari ramai lagi insan yang hidup serba kekurangan perlu ada dalam diri kerana membantu sesama manusia itu juga menjadi amalan tertinggi dan terpuji.
Ajar juga anak-anak untuk mengambil tahu tanggungjawab mereka kepada rakan sebaya. Mungkin sahaja kawan yang menjadi teman mereka bermain dan duduk bersebelahan di bilik darjah adalah anak yatim atau anak orang susah yang perlu dibantu.
Di akhirnya, kegembiraan atas apa juga hal termasuk ketika mengagihkan daging-daging korban dan menyantuni orang susah bukanlah semata-mata untuk kita mengejar pahala.
Namun di sisi lain, amalan kita itu adalah untuk membuatkan mereka (golongan susah) tersenyum dan merasai kebahagian sebagai seorang manusia.
Hakikatnya, hidup ini bukan hanya tentang apa yang kita miliki, tetapi apa yang kita beri kepada dunia.
Selamat Hari Raya Aidiladha semua.














