KUALA TERENGGANU – Semua kompleks membeli-belah, pasar raya besar dan pasar raya di bandar raya ini diarahkan agar menutup operasi seharian pada esok sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bermula 12 tengah malam ini.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Jusman Ibrahim berkata, premis makanan termasuk restoran makanan segera, kedai runcit dan serbaneka pula hanya dibenarkan membuka operasi selepas pukul 1 tengah hari.
“Ia bertujuan menghormati kemuliaan Hari Raya Haji serta memberi ruang kepada umat Islam termasuk pekerja premis perniagaan terbabit mengerjakan solat sunat Aidiladha dan ibadah korban,” katanya di sini, hari ini.
Jusman berharap ketetapan tersebut dipatuhi dan mendapati kerjasama daripada semua operator premis perniagaan di daerah ini.
Beliau berkata, tindakan perundangan tegas boleh diambil sekiranya arahan berkenaan tidak dipatuhi. – KOSMO! ONLINE