fbpx
Noor Azlina dan Adeeb bergambar bersama petugas kesihatan yang merawat anaknya itu yang menjadi mangsa serangan anjing liar sebelum keluar dari Hospital Selayang pada Rabu lalu.

Aidiladha paling bermakna buat keluarga Adeeb

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Syukur atas segala nikmat ini, anak saya semakin pulih. Setelah sekian lama ulang-alik ke hospital tanpa henti, akhirnya dia keluar selepas 33 hari menerima rawatan.”

Itu kata Noor Azlina Abdul Samad, 49, ibu kepada Muhammad Adeeb Naqiuddin Mohd. Zarawi, 14, yang cedera parah selepas terjatuh longkang akibat dikejar sekumpulan anjing liar di Bandar Tasik Puteri, Rawang pada 2 Mei lalu.

Katanya, kesihatan Muhammad Adeeb yang semakin pulih menjadi hadiah bermakna buatnya sekeluarga sempena Hari Raya Aidiladha ini dan mereka boleh merayakannya bersama-sama.

Menurut wanita itu, Aidiladha tahun ini disambut secara sederhana buat pertama kalinya di perantauan, tidak seperti kebiasaan mereka akan pulang ke kampung di Pahang atau Kelantan.

“Ini kali pertama kami beraya di sini. Sepatutnya balik kampung, tapi dalam keadaan anak baru keluar hospital, kami pilih untuk sambut seadanya.

“Saya ucap terima kasih tidak terhingga kepada petugas di Hospital Sungai Buloh dan Selayang dan semua termasuk mereka yang saya tidak kenali, tetapi sentiasa mendoakan Adeeb,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, anak keempat daripada lima beradik itu kini dalam fasa pemulihan di rumah selepas menjalani beberapa ra­watan susulan di hospital.

Bagaimanapun, katanya, Adeeb masih trauma dengan kejadian yang menimpanya.

Noor Azlina melihat keadaan Muhammad Adeeb ketika dirawat di Hospital Selayang sebelum ini.

Manakan tidak, pelajar tingkatan dua itu dikejar sekumpulan anjing liar ketika berjalan kaki pulang ke rumah dari Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebelum terlanggar pembahagi jalan dan terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian pukul 11.15 pagi.

Muhammad Adeeb cedera parah pada beberapa abdomen badan dan terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Remaja itu kemudian ditempatkan di ICU Hospital Selayang selepas menjalani pembedahan selama lima jam pada 15 Mei lalu melibatkan tiga organ utama ia­itu hati, usus dan limpa.

Bapa remaja itu memberitahu, Mohd. Zarawi Manaf, 47, anaknya dijangka menghadiri janji temu susulan bersama doktor pada 26 Jun ini bagi menilai perkemba­ngan kecederaan dan memutuskan sama ada Muhammad Adeeb boleh kembali ke sekolah.

“Tetapi buat masa sekarang, doktor belum benarkan Adeeb ke sekolah kerana kecederaannya masih dalam proses rawatan dan pemulihan.

“Kejadian dikejar sekumpulan anjing liar masih membekas dalam diri Adeeb. Dia takut kalau tengok anjing di tepi jalan,” katanya.

Tambahnya, mereka kini le­bih berhati-hati dan tidak sanggup mengambil risiko, apatah lagi melihat keadaan anaknya yang masih trauma.

Keadaan Muhammad Adeeb ketika diselamatkan orang ramai selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Tasik Puteri, Rawang pada 2 Mei lalu.

“Sebagai ibu bapa, kami tahu dia akan trauma. Kami juga trauma tengok anjing di tepi jalan kerana akan teringat kejadian itu.

“Saya tidak akan benarkan Adeeb berjalan kaki lagi, mungkin juga buat selama-lamanya,” katanya.

Ujarnya, buat masa ini, jiran tetangga tampil menawarkan bantuan untuk menghantar dan mengambil Muhammad Adeeb ke sekolah apabila dia kembali bersekolah.

“Mereka sedia membantu untuk hantar dan ambil Adeeb dari sekolah kalau kami tidak sempat,” katanya.

Sebelum ini, penduduk di Bandar Tasik Puteri, Rawang te­lah mendesak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengambil tindakan segera kerana sudah tidak tahan dengan gangguan anjing liar yang semakin bertambah dan agresif di kawasan itu.

Ahli Majlis MPS, Loo Voon May dilaporkan berkata, pihaknya te­lah memulakan operasi menangkap anjing liar khususnya pada waktu malam di sekitar Bandar Tasik Puteri dan dua ekor anjing telah berjaya ditangkap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN