HARI Ibu bukan sekadar sambutan simbolik, sebaliknya pengiktirafan peranan besar kaum ibu dalam membentuk keluarga dan masyarakat.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, jasa ibu tidak terhitung dan perlu dihargai setiap masa, bukan hanya setahun sekali.
“Di Sarawak, kita lihat pelbagai latar belakang dan kisah ibu luar biasa.
“Mereka semuanya memiliki persamaan iaitu membesarkan anak walaupun berdepan cabaran,” katanya.
Rohani berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Galeri Pustaka Negeri Sarawak,Kuching baru-baru ini.
Bertemakan Sentuhan Kasih Ibu, sambutan kali ini turut diserikan dengan pelbagai pengisian seperti Bicara Santai: Wanita, Ibu dan Masa Depan Negara, saringan kesihatan dan pameran agensi.
Tambah Rohani, tekanan-tekanan yang dihadapi para ibu masa kini termasuklah kos sara hidup, tuntutan kerja, masalah kewangan dan kurang masa untuk diri sendiri.

“Laporan Tinjauan Hari Ibu 2024 (meliputi seluruh Malaysia) mendapati sembilan daripada 10 ibu merasakan tanggungjawab mereka hari ini jauh lebih mencabar berbanding dahulu.
“Lebih membimbangkan, 32.2 peratus ibu dilaporkan mengalami kemurungan, manakala 5.6 peratus pernah berfikir untuk mencederakan diri sendiri. Ini bukan angka kosong.
“Ini isyarat jelas bahawa para ibu perlukan sokongan menyeluruh,” katanya.
Jelasnya, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan melalui Dasar Wanita Negara 2025-2030 serta program di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) termasuk PROKIT, IKIT, MamaCare dan Wanita Bangkit.

“LPPKN juga giat melaksanakan saringan kesihatan seperti Ujian Mamogram serta Saringan Kanser Serviks (HPV DNA) dan mamogram bersubsidi, selain kempen kesedaran kanser reproduktif wanita (WCaRe).
“Hingga 20 Mei 2025, seramai 43,166 wanita Sarawak telah menjalani ujian HPV DNA, manakala 17,862 menerima ujian mamogram di bawah program LPPKN,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rohani turut memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM6 juta di bawah Belanjawan 2025 untuk Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAl) bagi membantu pasangan mendapatkan zuriat.
Rohani berharap Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sarawak 2025 memberi manfaat kepada semua terutama para ibu dan wanita. Pada masa sama, Rohani juga menyeru semua pihak dapat bersama-sama menghargai ibu bukan sahaja pada hari seperti ini tetapi juga pada setiap harinya.
Pada program Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sarawak itu, lebih 300 orang wanita dan ibu dari pelbagai agensi, kelab dan pertubuhan dari serata negeri hadir.
Dalam majlis sama juga, Dayang Azizah Mohd. Salleh diumumkan sebagai penerima Anugerah Inspirasi Ibu 2025 atas sumbangan luar biasa beliau sebagai pendidik, ibu dan pemimpin masyarakat.














