LONDON – Penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen muncul pemain terbaharu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United selepas gergasi La Liga itu dilapor sedang memburu khidmat Marcus Rashford.
Rashford yang tidak berada dalam perancangan United musim depan terpaksa pulang ke Old Trafford musim baharu apabila Aston Villa enggan mengaktifkan yuran perpindahannya secara kekal.
Bagaimanapun, penyerang itu dilapor enggan berbuat demikian dan mengakui secara terbuka berminat untuk menyertai Barcelona menyebabkan ter Stegen terkait isu perpindahan berkenaan apabila dikatakan menjadi sebahagian daripada terma pertukaran.
Barcelona berdepan kesukaran untuk melunaskan bayaran perpindahan bernilai £40 juta (RM230.12 juta) untuk mendapatkan Rashford, namun mereka bersedia melepaskan penjaga gol Jerman itu secara pertukaran suka sama suka.
Barcelona pula dilapor tidak ada masalah untuk melepaskan khidmat penjaga gawangnya itu apabila mereka semakin hampir untuk menyelesaikan perpindahan pemain Espanyol, Joan Garcia.
United ketika ini juga terdesak untuk mendapatkan khidmat penjaga gol yang lebih baik selepas Andre Onana gagal meningkatkan prestasinya selepas dua musim di United, namun usia ter Stegen yang mencecah 33 tahun mungkin menjadi penghalang.
Selain itu, United juga mungkin hanya akan bersetuju untuk perpindahan itu direalisasikan sekiranya mereka diberikan sejumlah wang tunai berikutan nilai Rashford jauh lebih tinggi berbanding ter Stegen. – AGENSI