SERDANG – Tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam kes seorang lelaki warga Taiwan yang maut selepas terjatuh ke landasan transit aliran ringan (LRT) di Stesen Pusat Bandar Puchong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, perkara itu disahkan menerusi semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan, mangsa berusia 63 tahun itu didapati berjalan secara sendiri sebelum terjatuh ke landasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Farid berkata, pihaknya sedang mengambil tindakan untuk berhubung dengan keluarga mangsa melalui kedutaan.
Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian kira-kira pukul 6.03 petang, semalam.
Muhamad Farid dilaporkan berkata, mangsa yang terjatuh sebelum dilanggar tren disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa telah diserahkan ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi tujuan bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE