SELESAI perbincangan, penerbit dan pengarah, Erma Fatima menerima ‘lamaran’ dua penerbit Indonesia untuk mengangkat drama bersiri Bidaah ke layar perak yang dijadualkan memulakan penggambaran tahun ini.
Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 57, berkata, selain bertindak selaku penulis skrip, dia juga diberikan pelung membawa seorang pelakon tempatan beraksi dalam filem tersebut.
“Perbincangan sudah selesai. Memang ada satu video yang tersebar dalam media sosial menunjukkan pertemuan saya bersama penerbit Indonesia itu bagi projek filem Khurafat Walid yang dirancang tahun ini.
“Filem ini akan memulakan penggambaran dulu disusuli sebuah lagi naskhah membabitkan rumah produksi berbeza, namun tetap mengambil inspirasi Bidaah yang turut mencetuskan fenomena di negara jiran.
“Kisah yang dibentangkan nanti memang tidak sama dengan jalan cerita Bidaah, cuma masih memberi fokus terhadap ajaran sesat malah menariknya bukan sahaja saya diamanahkan buat skrip, malah ada pelakon lokal bakal terbabit dalam projek ini,” katanya pada sidang media Seeking Rahma Gathering 2025, semalam.
Syarat
Berkongsi mengenai olahan plot untuk naskhah layar perak, akui Erma dia kini banyak membuat kajian mengenai ajaran sesat di Indonesia yang turut menggunakan agama sebagai topeng.
Menurut pemilik Rumah Karya Citra itu lagi, banyak butiran penting perlu diperhalusi memandangkan isu ajaran sesat di republik terbabit cukup meluas.
Ditanya soal produksi pula, kata Erma, dia juga terbabit sehingga pemilihan pelakon bagi memastikan jalan cerita tidak lari daripada apa yang cuba disampaikannya.
“Saya memang letak syarat kepada penerbit di sana dari segi pemilihan pelakon sekurang-kurangnya kena ambil pelakon dari Malaysia
“Saya juga akan terbabit dalam pemilihan pelakon dari Indonesia. Bagi filem Khurafat Walid, memang ada seorang pelakon kita akan dibawa ke sana.
“Dalam projek filem yang belum mempunyai judul, ada walid dari Malaysia dan Indonesia. Saya belum boleh dedahkan lagi kerana ini projek besar dengan pembabitan ramai nama besar,” katanya.
Mengulas pembabitan pelakon Faizal Hussein yang mencetuskan fenomena menerusi watak walid dalam drama Bidaah pula, kata Erma, aktor berpengalaman itu akan terbabit dalam salah satu projek filem berkenaan.
“Watak Walid lakonan Faizal sudah popular di Indonesia dan semua orang di sana juga bertanya bila pihak kami mahu bawa Faizal turun (bertemu peminat) ke sana?
“Sebagai penerbit Bidaah, saya sangat bangga kerana mereka kenal Walid saya. Impak tersebut buat saya berasa sangat berbaloi kena maki dan kecam sebelum ini,” luahnya.
Sementara itu, mengenai filem Nikah Batin pula, Erma berkata, jalan ceritanya akan dihasilkan orang lain dengan berdasarkan kejadian di Lombok, Indonesia selepas cerita Bidaah keluar.
“Ada satu ‘pesantren’ (sekolah pondok) di sana yang kena serbu selepas kononnya ada jemaah perempuan yang dapat kekuatan buat laporan polis selepas menonton drama Bidaah seperti dilaporkan akhbar lokal.
“Pesantren terbabit diserbu polis dan berita itu sudah tular di Indonesia. Jadi penerbit akan buat filem berdasarkan insiden sebenar termasuk perkara pelik berlaku antara jemaah,” katanya.