PEMAIN warisan baharu skuad bola sepak kebangsaan, Facundo Garces sudah mula dapat merasakan aura sokongan biarpun masih belum melakukan sebarang penampilan bersama pasukan Harimau Malaya.
Garces yang merupakan pemain kelahiran Argentina percaya dia mampu mencipta memori cukup istimewa bersama rakan sepasukan baharunya nanti, terutamanya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam 10 Jun ini.
Pertahanan tengah Deportivo Alaves yang beraksi dalam saingan La Liga itu mengakui, dia tidak dapat membayangkan apa akan berlaku sekiranya sudah serasi dengan rakan sepasukan berbekalkan sokongan padu penyokong setia.
“Sejak tiba, saya sudah dapat merasakan kehangatan, semangat kekeluargaan serta sokongan yang ikhlas daripada semua pihak. Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan adalah satu penghormatan luar biasa.
“Jika ini baru permulaan, saya tidak dapat bayangkan betapa hebatnya apabila seluruh negara dan penyokong berdiri teguh bersama kami. Saya sedia berikan segala-galanya demi Malaysia,” kata pemain berusia 26 tahun itu.
Kelmarin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Garces yang memiliki pengalaman beraksi di pentas tertinggi bola sepak dunia dalam saingan La Liga serta liga utama Argentina menjadi pemain baharu menyarung jersi Harimau Malaya.
Kehadiran pemain yang memiliki ketinggian 1.88 meter (m) pastinya memberikan lebih pilihan buat ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Peter Cklamovski bagi membentuk benteng pertahanan ampuh.
Garces sudah pun menyertai kem latihan pusat bersama rakan sepasukan yang lain dan dia dijangka bakal memainkan peranan ketika melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.
20