fbpx

TH pastikan ibadah haji OKU penglihatan sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. NA’IM (kiri) ketika memberi ucapan di hadapan jemaah haji di Hotel Land Premium, Mekah hari ini.

MEKAH – Tabung Haji (TH) akan memastikan kebajikan 11 jemaah Malaysia yang merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan tahun ini dapat menyempurnakan rukun dan wajib haji dengan sempurna terutamanya ketika berwukuf di Arafah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pada tahun ini seramai 11 OKU penglihatan dijemput untuk menjadi tetamu Allah dan telah berada di Tanah Suci.

“Mereka akan menerima bantuan sewajarnya daripada petugas-petugas TH. Kita tidak membezakan layanan antara jemaah sempurna fizikal dan mereka yang OKU.

“Malah, mereka ini diberikan perhatian khusus agar ibadah mereka tidak terganggu. Kita mahu semua 31,600 jemaah tahun ini memperoleh haji yang mabrur,” katanya selepas menyempurnakan Program Ramah Mesra bersama Jemaah Haji dan Pelancaran Buku Ibadat Haji Braille di Hotel Land Premium, di sini hari ini.

Buku panduan ibadah haji dan umrah Braille tersebut merupakan hasil kerjasama antara TH, Pusat Ibnu Ummi Maktum, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

Tegas beliau, komitmen petugas TH yang disokong oleh sahabat-sahabat maktab sentiasa bersedia dalam membantu jemaah tanpa mengira keupayaan fizikal mereka.

“Ini mencerminkan semangat inklusiviti dan kebersamaan yang menjadi teras pengurusan haji negara.

“Petugas-petugas haji dan sahabat-sahabat maktab tidak membezakan sama ada jemaah itu sempurna dari segi fizikal atau merupakan OKU penglihatan dan mereka yang memerlukan bantuan akan tetap diberikan perhatian dan keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, inisiatif tersebut bertujuan membantu dan memudahkan jemaah haji OKU penglihatan menunaikan ibadah haji dengan lebih teratur dan berdikari, berbekalkan panduan yang sesuai keperluan mereka.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada TH atas usaha murni ini dan saya berharap penerbitan buku panduan ini akan memberikan manfaat yang besar kepada rakan-rakan OKU penglihatan.

“Ia sekali gus mampu menjadi dorongan kepada mereka yang belum berpeluang menunaikan haji,” katanya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI