LONDON – Usaha Liverpool untuk mendapatkan khidmat Florian Wirtz tidak semudah yang disangka apabila Bayer Leverkusen dilapor menolak dua tawaran awal yang dikemukakan oleh juara Liga Perdana Inggeris berkenaan.
Liverpool tampil dengan tawaran pertama bernilai £84 juta (RM480.67 juta) dengan bonus sebanyak £12.4 juta (RM70.95 juta), namun ditolak mentah-mentah oleh Leverkusen yang mahukan nilai lebih tinggi.
Tawaran kedua pula menyaksikan Liverpool meningkatkan jumlah keseluruhan dengan nilai sebanyak £109.6 juta (RM627.16 juta) dan tawaran itu turut ditolak oleh Leverkusen yang hanya bersedia berunding sekiranya angka itu bermula dengan nilai £126 juta (RM721.01 juta).
Perkembangan itu tidak mematahkan usaha Liverpool untuk memburu khidmat Wirtz apabila bakal tampil dengan tawaran baharu dengan memasukkan nama dua pemainnya dalam terma perpindahan tersebut.
Liverpool bersedia untuk ‘memberikan’ khidmat Harvey Elliot dan Jarrell Quansah untuk Leverkusen mengurangkan nilai Wirtz dan difahamkan kelab Bundesliga itu turut berminat untuk mendapatkan khidmat dua pemain berkenaan.
Elliot berdepan kesukaran untuk mendapatkan masa permainan di bawah kendalian Arne Slot dan kehadiran Wirtz menyaksikan dia mungkin terpaksa menjadi pilihan ketiga ketika Dominik Szoboszlai berada di kedudukan kedua.
Quansah pula mampu dipertimbangkan oleh Leverkusen ketika mereka bakal kehilangan Jonathan Tah yang menerima tawaran Bayern Munich. – AGENSI