KUALA LUMPUR – Hasrat 18 sekeluarga untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan mencium Kaabah buat kali pertama berkecai apabila mendakwa ditipu sebuah syarikat umrah sehingga kerugian hampir RM90,000.
Keluarga dari Johor Bahru itu dikatakan mengumpul wang tersebut selama bertahun-tahun untuk ke Mekah.
Wakil keluarga, Noor Azlan Buang, 62, berkata, mereka tertarik dengan pakej umrah itu yang diiklankan di media sosial dengan segala tawarannya dilihat meyakinkan sebelum mendaftar sebagai jemaah umrah.
“Kami dijanjikan bertolak ke Tanah Suci pada 25 Fabruari lalu. Tapi seminggu sebelum tarikh terbang pihak syarikat memberikan pelbagai alasan termasuk gagal menyerahkan beberapa barangan seperti beg roda untuk kegunaan jemaah.
“Tiba-tiba tengok berita syarikat terbabit disyaki tipu jemaah umrah. Semua adik beradik hubungi saya dan luah rasa cemas.
“Soal berkaitan pembayaran, urusan dengan syarikat semuanya diuruskan oleh adik bongsu saya,” katanya pada sidang akhbar bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.
Menurut anak keempat daripada 12 beradik itu, sehingga kini mereka sekeluarga cuba menghubungi pihak syarikat yang hilang tanpa khabar.
Tambahnya, laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu selain aduan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Kami adik-beradik bekerja keras untuk realisasikan impian ini, tetapi semuanya musnah begitu sahaja.
“Segala persiapan sudah dilakukan termasuk membeli pakaian ihram. Memang kami hanya menunggu hari penerbangan. Sangat teruja mahu menjejakkan kaki di sana. Sedih memang sedih, tapi Allah punya kuasa,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, 18 sekeluarga tersebut merupakan antara 90 jemaah yang ditipu syarikat umrah terbabit membabitkan kerugian lebih RM500,000.
“Mangsa-mangsa mengesyaki wang mereka berkemungkinan besar disalahgunakan oleh individu atau dalang di sebalik syarikat itu bagi tujuan selain daripada yang dijanjikan.
“Selepas diminta membuat pembayaran penuh, mangsa diberikan jadual penerbangan dan sebagainya, malangnya apabila waktunya hampir tiba, perancangan dibatalkan dan syarikat menggunakan pelbagai alasan.
“Syarikat juga menabur pelbagai janji untuk memulangkan semula wang pelanggan selain mengatur semula pakej yang ditempah.
“Bagaimanapun, tiada apa-apa tindakan atau pemulangan wang kepada mangsa sehingga ke hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE