fbpx

Nahas FRU: Kesemua mangsa terima rawatan di hospital dibenarkan pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA FRU yang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

TELUK INTAN – Empat mangsa nahas tragis membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan lori muatan batu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di sini sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal berkata, Sarjan Mazlan Mat, 50, dan Koperal Mohd. Izwan Ishak, 39, menjadi anggota FRU terakhir yang dibenarkan pulang selepas 18 hari menerima rawatan di hospital.

Katanya, kedua-dua mereka yang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dibenarkan berbuat demikian pada pukul 6 petang tadi.

Koperal Haslizal Mohd. Ali, 44, yang dirawat di hospital sama dibenarkan pulang semalam, manakala Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, yang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pula berbuat demikian kelmarin.

“Kesemua mereka dalam tempoh cuti sakit untuk proses pemulihan,” katanya hari ini.

Bakri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk hospital, bomba, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam yang membantu menguruskan sejak hari pertama kemalangan yang meragut sembilan nyawa anggota FRU pada 13 Mei lalu.

“Diharap kesemua anggota yang cedera diberikan kekuatan dan segera sembuh, begitu juga waris anggota yang terkorban dalam tragedi ini,” katanya.

Sebelum ini, seramai lima anggota FRU yang cedera iaitu Koperal Nizam Tarmizi, 38, Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, Koperal Mohd. Harrisul Ikhsan Mohd. Mahabudin, 39, Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34, dan Sarjan Mohd. Parih Ali, 44, dibenarkan keluar hospital.

Dalam kejadian pada 13 Mei lalu, sebuah trak membawa 18 warga FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori menyebabkan lapan anggota maut di lokasi, manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.

Nahas berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa dan enam buah kenderaan FRU berkonvoi dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di Hilir Perak.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI