fbpx

Manchester United benam Hong Kong, kembali tersenyum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Manchester United masih menurunkan pemain utama pada aksi bertemu Hong Kong sebentar tadi. - Foto Facebook MUFC

HONG KONG – Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United akhirnya dapat menutup tirai musim ini dengan noktah kemenangan selepas menewaskan Hong Kong 3-1 pada aksi persahabatan terakhir dalam siri Jelajah Asia, sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium Hong Kong itu, skuad The Red Devils yang dibimbing oleh Ruben Amorim membariskan kesebelasan yang agak kuat apabila beberapa pemain utama seperti Bruno Fernandes, Rasmus Hojlund dan Alejandro Garnacho diturunkan.

United berjaya mendahului seawal minit ke-3 tetapi jaringan yang dilakukan oleh Casemiro menerusi situasi set-piece dibatalkan oleh pengadil kerana ofsaid.

Situasi itu dimanfaatkan oleh tuan rumah untuk melakukan asakan pertama sebelum meraih gol pembukaan hasil penyudah Juninho pada minit ke-19.

Namun, United telah menyamakan kedudukan lima minit selepas bersambung babak kedua menerusi rembatan menarik Chido Obi yang berjaya mengelirukan penjaga gol lawan.

Jaringan tersebut menaikkan semangat United untuk memburu gol kemenangan apabila Obi sekali lagi muncul wira selepas menanduk hantaran Mason Mount yang masuk tepat ke arah gol pada minit ke-82.

Pemain muda, Ayden Heaven melengkapkan kemenangan dramatik United pada masa kecederaan sekali gus menyaksikan keputusan 3-1 kekal hingga wisel penamat.

Keputusan tersebut melegakan peminat United selepas kecewa dengan prestasi pasukan yang tewas mengejut kepada ASEAN All-Stars dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI