PETALING JAYA – Kira-kira dua juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah kendalian Plus Malaysia Berhad (Plus) pada hari puncak sempena sambutan Aidiladha minggu depan.
Plus dalam satu kenyataan berkata, jangkaan hari puncak itu adalah pada 5, 6, 8 dan 9 Jun ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal sempena musim perayaan dan cuti sekolah yang bermula semalam.
“Rancang perjalanan dengan MyPLUS-TTA. Plus bersiap sedia untuk menguruskan peningkatan trafik di lebuh raya bagi membantu pengguna menikmati perjalanan lebih lancar dan selesa sepanjang musim perayaan ini.
“Bagi mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, pengguna boleh muat turun dan mengakses aplikasi Plus bagi memilih waktu paling optimum bagi perjalanan di Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) antara 5 dan 10 Jun sempena Aidiladha,” katanya hari ini.
Menurut Plus, sempena musim perayaan, pihaknya turut mengaktifkan laluan Smart Lane di 30 lokasi tumpuan bagi kenderaan ringan, persendirian atau penumpang.
“Ketika Smart Lane diaktifkan, pengguna dinasihatkan supaya memandu dengan had laju disaran sekitar 60 km/j.
“Pengguna juga dilarang menggunakan lorong kecemasan di lokasi bukan Smart Lane bagi mengelak tindakan undang-undang,” katanya.
Tambahnya, bagi mengelakkan gangguan pergerakan trafik, tiada penutupan lorong untuk kerja penyelenggaraan di lebuh raya kendalian Plus bermula 5 hingga 9 Jun ini kecuali kerja kecemasan, pengalihan kemalangan dan pembaikan kritikal.
“Plus turut mengambil beberapa langkah lain merangkumi persediaan di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) antaranya 26 tandas kabin tambahan di hentian sebelah dan plaza tol terpilih untuk keselesaan pengguna,” katanya. – KOSMO! ONLINE