KOTA TINGGI – Hasrat seorang anak mahu membawa ibu dan bapanya berkunjung ke rumah adiknya di Selangor pada Hari Raya Aidiladha ini tidak kesampaian selepas dia maut dalam kemalangan akibat merempuh seekor lembu di Kilometer 3, Jalan Lok Heng-Mawai di sini malam kelmarin.
Ibu mangsa, Fatimah Abdullah, 65, berkata, anak sulung daripada 10 beradik itu, Allahyarham Mohd. Azli Elias, 47, sebelum ini begitu bersungguh-sungguh mahu berbuat demikian memandangkan sudah lama tidak bertemu dengan adiknya itu.
“Arwah merancang mahu mengambil saya dan suami Elias Ismail, 81, di Pasir Gudang dari Felda Aping Barat sebelum bertolak ke Selangor sebelum Hari Raya Aidiladha.
“Hasratnya itu tidak kesampaian kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), di sini semalam.
Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya itu awal Mac lalu semasa kenduri arwah datuknya sebelum Ramadan.
Ujarnya, sebelum Aidilfitri, dia menghantar WhatsApp memberitahu tidak balik ke Pasir Gudang sebab beraya di rumah keluarga isteri di Mersing.
Katanya, kali terakhir arwah berinteraksi dengannya pada 23 Mei lalu apabila dia mengingatkan tentang kerja dan solat dalam kumpulan WhatsApp dan arwah hanya membalas dengan reaksi tanda hati.
Menurutnya, arwah seorang anak dan abang yang ceria, kelakar, pemurah serta mudah membantu adik-beradik sekiranya berkemampuan.
Tambahnya, pada tahun 2024, Allahyarham sempat berkumpul bersama semua adik-beradik dan pulang lebih awal, dua hari sebelum Aidilfitri.
Katanya dia reda dengan pemergian anaknya itu namun turut meluahkan rasa kesal di atas tindakan sesetengah pengusaha lembu yang mengambil sikap sambil lewa sehingga membiarkan ternakan mereka terlepas sehingga ke jalan raya.
“Sebelum ini hanya tengok di televisyen berita kemalangan libatkan lembu ada yang maut. Saya selalu doa janganlah kena keluarga makcik tak sangka pula berlaku ke atas anak,” katanya sebak.
Katanya, jenazah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Aping Barat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC SE dipercayai dalam perjalanan dari arah Mawai menghala ke Aping Barat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa hilang kawalan selepas melanggar lembu yang melintas jalan secara tiba-tiba.
“Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat.














