KOTA TINGGI – Seorang ibu tetap tabah dan reda walaupun berdepan ujian getir membesarkan lima anaknya yang menghidap asma di Ladang Siang, Bandar Penawar di sini.
Nurul Zuraidah Selamat, 30, berkata, kesemua anaknya berusia antara dua hingga 12 tahun diserang asma ketika kecil.
Katanya, anak bongsunya, Muhammad Afiq Aqmal Mohamad Sufian, 2, yang paling kronik apabila turut mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, sawan dan gangguan saraf otak hingga memerlukan rawatan berterusan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
“Dulu dia sangat aktif tetapi kini banyak termenung dan kurang bercakap kesan daripada sawan yang menyebabkan kaki kanannya tidak kuat dan perlu fisioterapi.
“Setiap malam dia mengadu sakit kaki, kadang-kadang menangis sampai tidak boleh tidur. Abang dan kakaknya semakin pulih apabila besar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Nurul Zuraidah, suaminya, Mohamad Sufian Sanusi, 40, yang bekerja sebagai pemandu traktor di ladang hanya menerima gaji mengikut hari kerja.
Tambahnya, keadaan menjadi sukar apabila suaminya terpaksa mengambil cuti setiap kali anak masuk wad atau perlu menghadiri rawatan susulan.
“Kalau anak bongsu ada temujanji rawatan di HSI, suami kena cuti dan bawa semua empat anak yang lain sekali sebab tiada siapa boleh tolong jaga.
“Kos ulang-alik ke hospital cecah RM100 untuk minyak, makan dan sebagainya. Kadang-kadang sebulan kena pergi lebih daripada sekali,” katanya lagi.
Ujar Nurul Zuraidah, selain itu suaminya juga turut menghidap masalah kulit dan perlu bergantung kepada ubat sapu yang dibeli pada harga RM100.
“Anak-anak sejak kecil memang kerap keluar masuk hospital. Anak yang bongsu pernah masuk hospital sampai enam hari.
“Saya tidak bekerja kerana menjaga anak. Kami ada mendapat bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor termasuk pihak lain pun ada beri sumbangan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan meringankan beban keluarga tersebut boleh menyalurkannya ke dalam akaun CIMB Bank Mohamad Sufian 7076341320.