KUALA LUMPUR – Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) diyakini akan menjadi pemangkin utama kepada visi ASEAN 2045.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, keyakinan itu khususnya dalam memperkasakan ekonomi digital.
“Ia termasuk dalam pembangunan bakat masa hadapan dan penyelesaian lestari merentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lih Kang berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus memainkan peranan strategik dalam menerajui kerjasama serantau.
Menurut beliau, MOSTI akan terus memacu transformasi teknologi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi ASEAN menjelang 2045.
Terdahulu, katanya, Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 semalam suatu sejarah baharu.
Kata beliau, ia menandakan komitmen bersama negara-negara ASEAN untuk membentuk masa depan rantau yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya saing. – KOSMO! ONLINE