JASIN – Sepasang suami isteri yang baru tiga bulan mendirikan rumah tangga ditahan polis selepas disyaki menjual vape mengandungi dadah kepada pelajar sekolah, semalam.
Suspek lelaki berusia 41 tahun dan isteri, 38 tahun diberkas kira-kira pukul 11 pagi dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Jasin Bestari oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan awal pasangan tersebut dipercayai aktif mengedar pelbagai jenis dadah dalam bentuk vape, pil dan serbuk khususnya kepada pelajar sekolah serta remaja.
“Antara yang dirampas dalam serbuan termasuk cecair ketamin seberat 127.5 mililiter yang dipercayai digunakan dalam rokok elektronik serta pelbagai jenis dadah lain seperti pil ekstasi, Eramin 5, syabu, ganja dan serbuk ketamin.
“Modus operandi mereka adalah membungkus semula dadah ke dalam bekas-bekas cecair vape berperisa untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Gen 2 dan sebuah motosikal SYM Husky milik pasangan tersebut, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM32,650.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dan menggunakan media sosial serta kenalan rapat untuk mengedar bahan terlarang itu.
“Suspek lelaki merupakan warga Singapura dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau di sana, manakala isterinya warga tempatan. Ujian air kencing juga mendapati kedua-dua mereka positif methamphetamine,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 786 orang penagih.
Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 27 Mei hingga 2 Jun 2025 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Dzulkhairi memberitahu, pada 20 Mei lalu JSJN Melaka turut menumpaskan satu lagi sindiket dadah bernilai RM362,370.30 dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Syed Abdul Aziz dan menahan sepasang kekasih.- KOSMO! ONLINE