LIVERPOOL – Kempen 2024/2025 terus membawa tuah buat bintang Liverpool, Mohamed Salah apabila prestasi cemerlang dipamerkan membolehkan dia dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini.
Lebih manis, ia merupakan gelaran individu keduanya pada saingan musim ini selepas dia turut dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Penulis-Penulis Sukan (FWA) Jumaat lalu.
Pemain Mesir itu dianggap layak untuk menerima anugerah tersebut apabila menjadi watak penting yang membantu The Reds merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kedua dalam sejarah.
Setakat kelmarin, Salah sudah menjaringkan 28 gol selain melakukan 18 umpanan, sekali gus dibezakan satu angka dengan 47 penglibatan gol semusim yang ketika ini dipegang Alan Shearer dan Andrew Cole.
Selepas mempamerkan aksi cukup cemerlang sepanjang musim ini, Salah mula meletakkan sasaran lebih tinggi apabila mengakui dia memasang impian untuk menjadi pemenang anugerah Ballon d’Or.
“Bukannya saya tidak pernah mengharungi musim seperti ini dan memenangi piala tetapi saya boleh katakan bahwa ini peluang terbaik untuk mendapatkannya (Ballon d’Or) kerana kami mengharungi musim cukup baik,” katanya.
Sebagai rekod, ia merupakan anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana kedua yang diraih Salah selepas dia turut melakukannya pada kempen 2017/2018.
Sementara itu, Liverpool terus mendominasi anugerah utama Liga Perdana musim ini apabila pemain tengah, Ryan Gravenberch pula diangkat sebagai Pemain Muda Terbaik Liga Perdana. – AGENSI