KEDAH kaya dengan sajian dan lauk-pauk tradisi di setiap daerah yang masih disajikan sehingga hari ini.
Selain nasi lemak kuning dan ikan pekasam yang menjadi signatur, sajian dari daerah sekitar Hulu Kedah juga merupakan permata tersembunyi dalam kulinari di negeri Jelapang Padi itu.
Salah sebuah restoran di Lembah Klang yang menyajikan sajian Hulu Kedah adalah Restoran Sik Gulai Batang Pisang di Kampung Baru Subang, Shah Alam, Selangor.
Restoran itu menyajikan resipi turun-temurun iaitu gulai batang pisang.
Menurut pemiliknya, Ruhaimi Abdul Rahman, gulai batang pisang adalah menu yang sering ditemui di kawasan seperti Sik dan Baling.
“Gulai batang pisang adalah menu wajib ketika kenduri di Sik dan Baling. Istimewanya, menu ini menggunakan batang pisang sebagai ‘sayur’.
“Menu ini adalah sajian turun-temurun dari kampung dan saya belajar daripada orang-orang berpengalaman semasa menjadi penanggah di majlis kenduri atau keraian,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa baru-baru ini.
Tambanya, gulai batang pisang adalah sajian signatur di restorannya yang telah beroperasi sejak 2014.

– FIRDAUS JOHARI
Dia memaklumkan, sajian itu tampil dengan dengan pilihan protein daging lembu serta kambing.
Untuk makluman, restoran itu menggunakan batang pisang hutan yang dikatakan memiliki rasa lebih manis selepas dimasak sekurang-kurangnya tiga jam dalam kawah.
Kongsi lelaki berasal dari Sik itu, selain gulai batang pisang, terdapat pelbagai sajian menarik lain yang ditawarkan di restoran tersebut, dari sarapan pagi hingga makan tengah hari.
Bagi menu sarapan yang bermula pada pukul 7.30 pagi, hidangan wajib cuba adalah lempeng kelapa dicecah dengan gulai Kedah, roti goyang telur separuh masak, pulut ikan masin, bihun sup Utara, nasi lemak dan ubi kayu rebus.

Bagi makanan tengah hari pula, pengunjung boleh memilih sajian nasi lauk campur yang terdiri daripada masak lemak cili api, ikan pekasam asli dari Sik, pajeri nanas, gulai Kedah dan lain-lain lagi.
“Gulai Kedah juga merupakan resipi autentik dari kampung kerana berbeza dengan gulai lain.
“Kuahnya sedikit cair tetapi masih padu dan dicampur sama ada dengan labu atau timun.
“Selain menu nasi campur, kami turut menawarkan enam menu set seperti set ayam penyet, ayam kampung, kembung goreng, keli goreng, ikan pekasam dan bawal goreng,” ujarnya.
Menurut Ruhaimi, bagi pilihan minuman, kedainya menawarkan aneka air seperti di kedai-kedai lain kecuali kopi.
Jelasnya, kopi di restorannya memiliki campuran istimewa dan merupakan produk tempatan dari kampung.














