KUALA LUMPUR- Blok ASEAN perlu berdiri teguh sebagai pemacu utama kepada blok serantau bagi memastikan tidak berlaku sebarang perpecahan khususnya apabila menerima tekanan daripada pihak luar.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kepusatan ASEAN menjadi kompas kepada blok itu dan ia perlu terus diperkukuhkan agar tidak mudah berpecah
“Dalam dunia yang semakin berpecah, ASEAN mesti menawarkan jalan yang berbeza berdasarkan dialog, kerjasama dan multilateralisme.
“Kita mesti berfikir secara serius bagaimana ASEAN boleh memberi sumbangan yang membina dan positif kepada perkembangan global,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini tadi.
Katanya, sumbangan itu termasuk kemampuan
bersuara dengan tegas dan sepakat dalam isu-isu keamanan selain keadilan kesaksamaan, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
Pada masa sama, Mohamad berkata, ASEAN juga tidak boleh berdiam diri dalam isu Gaza memandangkan mempunyai suara dalam hal ehwal dunia.
Katanya, ASEAN perlu menggunakan suara itu untuk membela mangsa tertindas dan menawarkan penyelesaian yang berpaksikan prinsip dan undang-undang antarabangsa.
“Di peringkat serantau pula, kita telah menunjukkan tindakan proaktif yang mana ASEAN bertindak segera selepas gempa bumi melanda sebahagian Myanmar dan Thailand.
“Tindak balas segera kita mencerminkan semangat belas kasihan, solidariti dan kemanusiaan yang menjadi asas penubuhan ASEAN,” katanya. – KOSMO! ONLINE