KLANG – Isu had persaraan penjawat awam kepada 65 tahun antara dikaji jawatankuasa khas di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) secara terperinci yang meliputi satu daripada 28 Undang-Undang Buruh.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, jawatankuasa diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Antarabangsa Kesuma itu melihat kesesuaian cadangan had itu yang mempunyai pro dan kontra jika dilaksanakan.
“Kita akan mendapatkan maklumbalas daripada pemegang taruh terutama sektor awam, pekerja dan majikan bagi memastikan Undang-Undang Buruh itu selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
“Kementerian mahu melihat semula semua 28 undang-undang itu termasuk berkaitan usia persaraan. Ini kerana ada daripadanya ketinggalan zaman dan terpaksa dimansuhkan atau dikemas kini,” katanya selepas merasmikan majlis penyerahan bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Peringkat Zon Tengah di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan meneliti dan mengkaji implikasi cadangan menaikkan had umur persaraan tersebut.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said secara peribadi mencadangkan perkara itu kerana jumlah individu berusia 60 tahun ke atas dilihat masih sihat, aktif dan berkemampuan terus menyumbang perkhidmatan mereka. – KOSMO! ONLINE