JAKARTA – Pihak berkuasa tempatan mengeluarkan peringatan kepada penduduk Kota Pontianak, wilayah Kalimantan Barat agar tidak bermain layang-layang kerana ia menjadi kesalahan di sisi undang-undang, lapor laman berita Lambe Turah semalam.
Individu yang ingkar berdepan hukuman denda sehingga 500,000 rupiah (RM130) dan kad pengenalan mereka berisiko disekat.
Tindakan itu diambil ketika aktiviti bermain layang-layang dianggap sebagai membahayakan keselamatan pengguna jalan raya di bandar tersebut.
Ketua Unit Polis Perkhidmatan Awam (Satpol PP) Kota Pontianak, Ahmad Sudiantoro berkata, pihaknya akan mengenakan denda kepada mana-mana penduduk yang ditangkap menerbangkan layang-layang di kawasan larangan.
“Kami telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Penduduk dan Pendaftaran Awam.
“Sekiranya pesalah tidak membayar denda, kami boleh menyekat kad pengenalan mereka.
“Jika ia telah disekat, mereka secara automatik tidak boleh mengakses perkhidmatan perbankan atau insurans,” katanya.
Tambah Ahmad, setiap hari pihaknya menerima lima hingga 10 laporan berkaitan layang-layang.
“Kami mengutamakan kawalan di kawasan barat dan pusat bandar kerana layang-layang yang patah sering dibawa angin ke kawasan selatan, timur dan utara.
“Jangan biarkan anak-anak anda bermain layang-layang. Kesannya boleh membawa maut, lebih-lebih lagi jika ia mengganggu pemandu,” katanya. – AGENSI