fbpx

‘Cukuplah keluarga, rakan tahu kehidupan peribadi saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MISHA memilih untuk tidak terlalu berkongsi hal peribadi buat tatapan umum. – SHIDDIQIEN ZON

MENJALANI kehidupan secara privasi tanpa diserabutkan dengan ideologi netizen seperti melawan norma kehidupan seorang selebriti.

Namun, itu dipraktikkan penyanyi Misha Omar sejak mula memahat nama sebagai anak seni sekitar dua dekad lalu.

Selesa dengan dunianya ketika ini, Misha atau nama penuhnya Samihah@Aisah Omar percaya kehidupannya tetap indah tanpa perlu berkongsi segala-galanya kepada khalayak.

Baginya, cukup sekadar perihal kerjaya dan keadaan dirinya yang dikongsi kepada umum berbanding tentang rumah tangga dan anak-anak.

“Betul, walaupun seorang ‘public figure’, saya sangat menjaga dan melindungi privasi keluarga. Saya pilih dan tapis setiap konten sebelum dikongsi kepada umum.

“Bukan kedekut tetapi selesa begini. Anak-anak dan suami boleh menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Tak perlu hidup dengan tempias status saya sebagai selebriti.

“Cukuplah hanya keluarga dan rakan terdekat sahaja yang tahu tentang kehidupan peribadi saya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ujar pelantun lagu Sampai Bila itu, prinsip untuk tidak berkongsi perihal peribadi dalam media sosial memberinya kebebasan untuk melakukan sebarang perkara tanpa perlu mendapatkan validasi daripada mana-mana pihak.

Katanya, itu juga cara dia menikmati kehidupan yang tidak semestinya perlu dihebohkan kepada umum.

“Kalau saya senyap dan sepi dari radar media sosial, itu maknanya saya sedang menikmati kemanisan ‘diam’ tersebut.

“Waima sedang bergelut dengan sebarang masalah hidup sekali pun, saya akan menghadapinya tanpa perlu menjawab banyak persoalan daripada lain-lain.

“Semua tanda tanya itu hanya akan dijawab sekiranya perlu dan pada waktu yang tepat. Sebenarnya, menyepi mampu memberi ketenangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia tidak kisah sekiranya tindakan menjaga privasi itu dilihat menjadikannya dirinya lebih eksklusif daripada ‘menjahanamkan’ kerjaya seni dengan kontroversi murahan.

“Kalau itu yang orang lihat saya begitu (eksklusif), silakan. Cara setiap orang adalah berbeza dan mungkin saya selesa dengan ruang yang dicipta sendiri ini.

“Kalau boleh, peminat hanya perlu lihat apa yang mereka mahu lihat dan menikmati karya-karya saya sahaja,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu lagi.

Konsert, Tohpati

Berkongsi perkembangan terbaharu, Misha baru-baru ini mengumumkan bakal mengadakan sebuah konsert berskala besar pada November depan.

Konsert tersebut bagi mengubat rindu dan menebus kekecewaan segelintir peminat yang tidak berpeluang menonton showcasenya, Misha Omar Back To Basic pada Disember tahun lalu.

“Selain pelancaran single baharu, saya juga akan menganjurkan konsert pada tahun ini. Insya-Allah akan ada sidang media untuk menghebahkan kepada umum

“Sedikit ‘hint’, konsert ini akan diadakan di lokasi lebih besar dan mampu menampung 4,000 hingga 5,000 penonton dalam satu masa.

“Saya setuju mengadakan konsert selepas melihat sambutan hebat para peminat terhadap ‘showcase’ tahun lalu,” ujarnya.

Bercerita tentang single terbaharu ciptaan komposer terkenal Indonesia, Tohpati yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, Misha mengakui proses rakaman lagu di Indonesia pada Februari lalu satu memberikan pengalaman luar biasa.

Dia turut dibantu guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat sepanjang proses rakaman di sana.

“Secara jujur, saya sangat gementar untuk bekerja dengan Tohpati dan pasukannya kerana proses rakaman sangat berbeza seperti di Malaysia.

“Semua orang tahu penjiwaan ‘rentan’ dan lenggok nyanyian saya ketika menyanyikan lagu galau, maka di situlah cabarannya.

“Saya perlu belajar mengawal semua itu selain harus biasakan dengan penggunaan banyak perkataan dalam bahasa Indonesia agar sebutan tidak salah. Ini memang satu pengalaman yang hebat,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI