SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kota Aur, Kuala Muda, Seberang Perai Utara di sini, malam tadi.
Mangsa, Muhammad Aidil Firash Khairul Azman yang diselamatkan orang awam di lokasi berkenaan bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di tempat kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7.24 malam.
Katanya, operasi menyelamat mangsa dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda diketuai Komander Operasi, Saiful Adimin Ibrahim.
“Mangsa terjatuh ke dalam sungai dan diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi.
“Kanak-kanak itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya sebentar tadi.
Operasi tersebut tamat pada pukul 8.37 malam tadi. – KOSMO! ONLINE