PETALING JAYA – Program Swiss Innovation Challenge (SIC) Malaysia bukan sekadar pertandingan inovasi biasa, ia merupakan platform komprehensif yang membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk mengubah idea menjadi kenyataan.
Naib Canselor DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU), Prof. Datuk Dr. Omar Osman berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi salah satu daripada penganjur utama bagi program berprestij berkenaan dalam melahirkan inovator tempatan yang berjaya.
“SIC Malaysia ini ibarat program ‘bina impian’. Ia bukan sekadar bertanding siapa paling inovatif, tetapi merupakan satu perjalanan lengkap yang membantu peserta membentuk idea mereka melalui bimbingan serta latihan perniagaan, hingga berpeluang ke pentas antarabangsa di Switzerland,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Memasuki edisi keempat, Omar berkata, SIC Malaysia terus menerima sambutan yang menggalakkan dan ramai peserta terdahulu telah berjaya menembusi pasaran dengan produk masing-masing hasil transformasi daripada penyertaan mereka dalam program ini.
“Kami dapat lihat dengan sendiri perubahan besar dalam cara mereka berfikir, merancang, dan melaksanakan idea. Memang membanggakan,” katanya.
Ujarnya, antara yang membezakan SIC Malaysia dengan program inovasi lain adalah keterbukaannya kepada semua bidang termasuk automotif, teknologi hijau, kesihatan, makanan, pendidikan dan banyak lagi.
“Asalkan ada inovasi dan semangat mahu kembangkan idea, anda dialu-alukan. Selain hadiah menarik, peserta akan beroleh bimbingan daripada pakar industri, peluang berkenalan dengan pemain besar dunia bisnes dan paling menarik, diberi peluang untuk tonjolkan idea ke luar negara.
“Inilah jambatan yang menghubungkan bakat muda, syarikat dan akademia. Malaysia perlukan lebih banyak platform seperti ini untuk merangsang ekosistem inovasi,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk mendaftar awal, dengan tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada Ahad depan, 25 Mei 2025.
“Lagi cepat daftar, lagi cepat anda boleh mula terima bimbingan dan bina momentum. Kami galakkan pelajar, graduan, malah individu yang baru ingin mencuba.
“Kadang-kadang idea paling luar biasa datang daripada orang biasa. Jangan takut untuk mencuba,” katanya.
Sebagai hos nasional, beliau berkata, DHU berperanan menyediakan pentas, fasilitator dan latihan intensif kepada peserta sepanjang program berlangsung, sejajar dengan matlamat universiti tersebut untuk menjadikan inovasi sebagai sebahagian daripada ‘DNA’ institusi.
Melihat ke hadapan, beliau optimis SIC Malaysia berpotensi menjadi platform inovasi serantau yang bakal membawa nama Malaysia ke persada dunia.
“Saya yakin program ini akan menjadi platform serantau bukan untuk Malaysia sahaja, tapi Asia Tenggara. Kita sudah buktikan kemampuan, dan kita akan terus bawa inovator tempatan ke mata dunia.
“Jangan tunggu sampai sempurna. Kalau ada idea, walau kecil, sertai sahaja! Kadang-kadang langkah pertama itu paling penting.
“Kami ada di sini untuk bantu kembangkan potensi anda,” tambahnya.