MIRI – Penyanyi Dayang Nurfaizah menegaskan aksi mesra dengan rakan seangkatan, Hael Husaini ketika menyampaikan lagu Haram pada Konsert MeleTOP TVS semalam berlaku secara spontan tanpa sebarang niat untuk mencari perhatian ramai.
Menurut Dayang atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, semua yang berlaku di atas pentas adalah atas dasar profesionalisme selain merasakan keserasian mereka setiap kali berduet adalah luar biasa.
Sebenarnya ketika menyanyi, dia sebagai kawan baik lihat ada kesan comot gincu bibir berwarna merah pada bahagian dagu saya.
“Tapi terima kasih (tolong bersihkan), sebab risau muka tak nampak cantik pula.
“Tapi kalau orang suka, maksudnya kami berjaya menghiburkan peminat,” katanya kepada Kosmo! Online usai Konsert MeleTOP TVS di Stadium Tertutup Bandaraya Miri di sini, semalam.
Dalam pada itu, pelantun lagu Erti Hidup itu menyifatkan Hael sebagai rakan duet yang bagus dan mampu melengkapi kekurangannya ketika beraksi dalam mana-mana persembahan.
“Orang tak tahu bila membuat persembahan pentas, ada yang kita nak realisasikan. Jadi bila benda itu berlaku, pasti akan sangat gembira lebih-lebih bila berduet sebab kita menyokong antara satu sama lain.
“Menyanyi secara duet bukan setakat menyanyi bersama tapi perlu saling melengkapi.
Hari ini, sukar untuk jumpa penyanyi duet yang mampu beri keserasian yang sangat bagus seperti Hael yang mampu energi hebat setiap kali membuat persembahan bersama,” katanya lagi.
Terdahulu, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu mengakui sedang berkawan rapat dengan seseorang ketika ini.
Perkara tersebut tercetus apabila tular dakwaan dua penyanyi popular bakal naik pelamin tersebar dalam kalangan rakan seangkatan mereka.
Rentetan itu, nama Hael mula menjadi sebutan apabila didakwa merupakan individu yang ketika ini rapat dengan Dayang. – KOSMO! ONLINE