PETALING JAYA – Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama penggemar kereta klasik Volkswagen (VW) di Johor Bahru, Johor.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda berkenan menyantuni orang ramai yang berada pada tapak pameran kereta klasik tersebut selepas baginda menikmati santapan pagi di sana.
“Terdahulu, Seri Paduka Baginda yang sedang menikmati santapan pagi, berkenan menyantuni orang ramai yang hadir di tapak pameran, termasuk kanak-kanak kecil yang begitu teruja dengan keberangkatan baginda.
“Pameran berkenaan menampilkan sebanyak 50 kereta klasik oleh Kumpulan VW Classickers Johor dan JKS Voltsvans Garage,” tulis hantaran tersebut hari ini.
Seperti yang diketahui umum, baginda merupakan antara peminat kereta klasik dan kereta-kereta terkenal di dunia.
Baginda juga mempunyai koleksi kenderaan unik dan klasik dalam simpanan termasuk trak dan kepala kereta api. – KOSMO! ONLINE.