Landskap politik Sabah sangat kompleks dan penuh dengan kejutan. Ia boleh berubah sekelip mata mengikut percaturan dan strategi demi sebuah kekuasaan.
Di Sabah sahaja, terdapat lebih 20 parti yang berdaftar termasuk gabungan parti-parti tempatan dan parti berorentasi nasional. Kebiasaannya, parti-parti di Sabah dibezakan mengikut etnik dan kaum.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hujung tahun ini, pelbagai percaturan mula disusun oleh parti-parti utama. Ini termasuk soal gabungan dan isu pembahagian kerusi.
Melihat kepada pecahan parti yang ada, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) paling mendominasi dan merupakan parti pemerintah sedia ada pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Di bawah GRS, terdapat sekurang-kurangnya lapan parti lain, yang mana parti-parti ini merupakan ‘produk’ lokal yang diketuai pemimpin tempatan. Selain PGRS, turut berada dalam gabungan GRS ialah PBS, STAR, SAPP dan USNO. Lain-lain parti ialah PHRS, LDP dan PCS.
Terdapat juga parti-parti tempatan lain termasuklah Warisan, KDM, UPKO dan PBRS.
Pengaruh parti-parti nasional di Sabah sangat kuat dan pernah memerintah negeri ini selama beberapa penggal. Antara yang paling mendominasi ialah UMNO, selain Bersatu, PKR, DAP, Pas, Amanah, PBM dan Parti Muda.
Ironinya, parti-parti ini sama ada berstatus tempatan ataupun nasional mempunyai agenda yang sama iaitu memperjuangkan hak-hak negeri Sabah dan menjaga kebajikan setiap kaum.
Sesuatu yang menarik, pemimpin setiap parti-parti ini juga bukanlah orang ‘biasa-biasa’. Kebanyakan daripada mereka pernah berada dalam ‘gabungan’ yang sama.
Sebagai contoh, Hajiji (PGRS), Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO), Datuk Seri Anifah Aman (PCS), Tan Sri Pandikar Amin Mulia (USNO) pernah berjuang dalam UMNO.
Bagaimanapun, percaturan politik yang sangat kompleks menyebabkan mereka membawa haluan dengan mengetuai parti-parti berbeza. Perubahan ini bukan sahaja kepada pemimpin, tetapi penyokong termasuk pengundi turut berpecah.
Bagi parti-parti tempatan lain, kekuatannya banyak bergantung kepada pengaruh pemimpin utama untuk terus kekal relevan dan dipercayai rakyat.
Ini termasuk parti STAR diketuai Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, SAPP (Datuk Seri Yong Teck Lee), PBS (Datuk Seri Maximus Ongkili), KDM (Datuk Peter Anthony), UPKO (Datuk Ewon Benedick) dan PBRS (Datuk Arthur Joseph Kurup).
Sesuatu yang menarik, kepelbagaian variasi politik dan parti di Sabah ini sebenarnya telah mencetuskan tanggapan negatif sehingga wujudnya istilah ‘politik katak’.
Namun, realiti sebenar yang harus difahami bahawa politik di negeri ini banyak dipengaruhi oleh sejarah, selain perebutan kekuasaaan sesama pemimpin.
Sejarah lampau juga sudah membuktikan bahawa pemimpin boleh berubah angin sehingga berlakunya ‘permusuhan’ antara adik-abang dan guru-murid.
Di akhirnya, kesan besar akan dirasai oleh rakyat sebagai pengundi. Mereka akan hilang kepercayaan terhadap individu bergelar ‘Yang Berhormat’.














