PETALING JAYA – Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) menjemput pelancong tempatan, luar negara serta masyarakat di negeri Sabah untuk berkongsi kegembiraan, perpaduan dan tradisi ketika sambutan Pesta Kaamatan pada hujung bulan Mei ini.
Pesta dua hari bermula 30 Mei ini itu akan diadakan di Hongkod Koisaan Cultural Unity Centre Penampang bersesuaian dengan cuti umum selama dua hari di negeri berkenaan.
Menurut Lembaga Pelancongan Sabah, antara program dan aktiviti yang diadakan sepanjang pesta itu adalah ritual tradisional yang simbolik yang mana upacara ini dikendalikan dengan teliti oleh Bobohizan, kumpulan pendeta tradisional yang dihormati sebagai penjaga tradisi masyarakat Kadazandusun.
Setiap nyanyian dan gerak isyarat yang dilafazkan merupakan penghormatan kepada Bambarayon atau ‘semangat padi’, sambil memohon berkat dan kesejahteraan untuk negeri dan rakyatnya.
“Upacara simbolik ini menjadi jambatan hidup yang menghubungkan masyarakat dengan dunia alam, sekaligus memperkukuhkan ikatan antara manusia dan roh alam dalam tradisi Kadazandusun,” katanya dalam kenyataan semalam.
Selain itu, Lembaga Pelancongan Sabah menerangkan, persembahan tarian daripada pelbagai etnik seperti Sumazau, tarian Maragang dari Tambunan yang penuh semangat dengan gerakan lincah dan laungan jeritan ‘pangkis’ bakal membakar jiwa penonton.
Terdapat juga tarian Sazau Papar dan tarian Mongigol yang bersemangat, mendapat sambutan baik daripada pengunjung malah ia turut dipersembahkan semasa acara utama Kaamatan.
Acara kemuncak bagi majlis ini adalah menobatkan ratu Pesta Kaamatan dan ia bukan sekadar pertandingan ratu cantik, tetapi merupakan satu penghormatan kepada semangat Huminodun – seorang puteri lagenda yang mengorbankan dirinya demi kesejahteraan rakyat.
Aktiviti lain yang diadakan sempena pesta tersebut adalah pertandingan Sugandoi yang memberi peluang kepada peserta menyanyi dan ini adalah salah satu kegemaran rakyat negeri Sabah sama ada di karaoke, majlis keluarga, atau acara kampung.
“Pertandingan sugandoi menyerlahkan lagi semangat ini dengan menjadikan nyanyian sebagai satu acara meriah yang diraikan di seluruh negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, terdapat permainan tarik tali yang boleh disertai atau ditonton semasa pesta Kaamatan.
“Permainan yang meriah ini tersemat dalam warisan tempatan dan mempamerkan kekuatan, kerjasama berpasukan dan semangat komuniti.
“Acara ini sering menjadi tarikan pengunjung manakala permainan lain seperti gusti lengan dan sumpitan turut memeriahkan suasana.
“Aktiviti ini bukan sahaja menarik untuk ditonton, malah menggalakkan pengunjung untuk turut serta merasai budaya suku kaum Sabah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE