fbpx
Jangan dikira keuntungan semata-mata, tetapi fokuskanlah kepada inisiatif untuk mengekalkan tahap kebersihan, keceriaan, kelestarian kediaman.

Simpan barang lama, homestay atau stor?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Minat yang mendalam bagi rakyat Malaysia yang suka bercuti, suka menganjurkan hari keluarga, reunion dan pelbagai program bermalam bersama keluarga di homestay mendorong permintaan terhadap kediaman tersebut terus meningkat.

Tidak kira kediaman bersaiz rumah teres satu tingkat dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air hinggalah kepada saiz banglo yang memiliki pelbagai kemudahan termasuk kolam renang, ramai pemilik kediaman sanggup mengeluarkan modal yang besar untuk memenuhi keperluan pelanggan yang bermacam ragam.

Ramai tuan rumah mengoperasikan homestay secara sendiri atau dipromosikan dalam platform popular untuk menarik pelanggan mengikut kreativiti masing-masing.

Jika bertuah, homestay yang terletak di lokasi strategik di destinasi pelancongan popular akan sentiasa mendapat tempahan daripada pelanggan, tetapi ada juga unit kediaman yang hanya disewa apabila adanya kenduri kahwin dan juga musim perayaan.

Dalam keghairahan pemilik kediaman mempromosikan homestay masing-masing, janganlah diabaikan tahap keselamatan, kebersihan dan keceriaan kerana mereka perlu memastikan kemudahan khususnya perabot, sofa, meja makan, barangan elektrik dan keperluan dapur yang baharu belaka.

Satu perkara yang penulis berasa amat kecewa dengan sikap tuan rumah yang tidak prihatin, telah menjadikan homestay mereka sebagai pusat meletak pelbagai perabot terpakai di ruang tamu, keperluan bilik, barangan elektrik berusia lama selain keperluan dapur dengan periuk, cawan, pisau yang sudah terpakai, uzur, sudah berkarat malah pinggan mangkuk yang sumbing untuk tetamu.

Bayangkan jika tetamu perlu duduk di atas sofa yang lekuk kusyennya, permaidani usang, pudar warna dan berdebu dan pelbagai lagi yang membuatkan pengalaman bermalam di homestay tersebut satu mimpi ngeri buat mereka yang alah kepada persekitaran tidak menyihatkan.

Testimoni daripada pelanggan adalah perkara yang amat penting untuk menarik minat pelanggan sedia ada datang kembali menginap ataupun menjadi daya penarik kepada pelanggan baharu.

Jadi gunakan peluang tersebut untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan agar berbaloi dengan duit yang dibayar pelanggan.

Sehubungan itu, jangan ambil mudah tentang perkara remeh-temeh ini kerana ini adalah antara faktor yang membolehkan tuan rumah terus berdaya saing dalam industri tersebut.

Jangan dikira keuntungan semata-mata, tetapi fokuskanlah kepada inisiatif untuk mengekalkan tahap kebersihan, keceriaan, kelestarian kediaman.

Pastikan perabot dan pelbagai keperluan di dalam bilik, di dapur dan juga di tandas sentiasa dijaga dengan baik dan dipantau serta ditukar ganti jika ada yang rosak untuk keselesaan tetamu.

Tuan rumah sebenarnya tidak akan rugi sesen pun jika terpaksa berbelanja besar untuk menceriakan homestay masing-masing kerana akan memberi pulangan yang baik dan rezeki yang diberkati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN