fbpx
Zulkarnain (belakang, kiri) bergambar bersama penari cilik SKTSR yang bakal terbang ke Paris ketika ditemui di Rembau semalam.

Budak Rembau teruja mahu ke Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – Siapa sangka 10 murid tahun lima dan enam Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rembau (SKTSR) di sini bakal terbang ke Paris untuk berentap dalam pertandingan tarian bertaraf antarabangsa Oktober ini.

Guru Besar, Zulkarnain Abd. Kadir berkata, mereka akan mempersembahkan tarian Melayu sempena International Competition & Festival of Folklore, Dance and Music “Etoiles De Paris” ke-35.

Katanya, kesemua murid dilatih sejak empat tahun lalu oleh guru bahasa Inggeris, Mohd. ‘Ainuddin Mohd. Ramlan yang juga Jurulatih Seni Budaya Negara Tahap 1.

“Sejak pindah ke sini hujung tahun lalu, saya nampak kebitaran sekolah ini adalah dalam bidang kesenian dan kebuda­yaan. Banyak kejayaan yang te­lah dicipta di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

“Jadi apa salahnya kita lebarkan sayap ke peringkat antarabangsa pula. Tujuannya tak lain tak bukan memberikan pendedahan kepada anak-anak kita serta guru berentap di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kumpulan penari itu pernah menerima Anugerah Emas Ta­rian Kanak-kanak Madani Kebangsaan 2025; Johan Busana dan Tatarias Tarian Sekolah Peringkat Negeri 2024; Naib Johan Peringkat Negeri Tarian Sekolah-Sekolah Malaysia 2023.

Ujar Zulkarnain lagi, sejajar dengan hasrat itu, Tabung ‘Road To Paris’ telah dilancarkan oleh Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 kelmarin.

“Beliau (Mohamad) telah menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada tabung ini dan kita juga telah merancang pelbagai program bagi kutipan dana sekurang-kurangnya RM120,000 bagi perjalanan yang dijangka bermula 22 Oktober hingga 30 oktober ini,” katanya.

Sehubungan itu, individu yang berminat untuk me­nyumbang boleh menyalurkannya ke akaun CIMB, Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKTSR di nombor 8601035597.

Dalam pada itu, Zulkarnain yang juga Ketua Kontinjen ke Paris berkata, ibu bapa juga memberikan sokongan terbaik, selain dua guru lagi bertindak sebagai persiapan serta solekan iaitu Aimi

Zahirah Zakaria dan Aida Sorfina Zulpakar.

“Bukan semua daripada 10 murid itu terdiri dari golo­ngan elit, ada golongan biasa tapi mereka nak anak mereka berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN