fbpx
Rohaya (kiri) bersama Hassan bersyukur diberi peluang menunaikan ibadah haji pada tahun ini selepas pernah melalui pengalaman ngeri akibat jangkitan Covid-19. – RAJA JAAFAR ALI

Pemandi jenazah ditidurkan selama 25 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULAI – Seorang wanita tidak menyangka diberi peluang untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini atas tajaan penuh selepas pernah melalui detik hitam yang hampir meragut nyawanya akibat jangkitan Covid-19 pada tahun 2000.

Rohaya Abdul Kadir, 69, yang bekerja sebagai pemandi jenazah berkata, lebih menggembirakan apabila dia akan ke Tanah Suci bersama suaminya, Hassan Abdul Hamid, 76.

Katanya, dia pernah ditidurkan selama 25 hari akibat Covid-19, manakala suaminya pula dima­sukkan ke Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 10 hari.

“Saya dan suami bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik walaupun telah berdepan detik sukar apabila disahkan dijangkiti Covid-19 yang telah mengorbankan jutaan nyawa di seluruh dunia.

“Selepas lima tahun berlalu dan semua sudah kembali seperti biasa, kami akhirnya menerima berita paling menggembirakan apabila mendapat panggilan haji.

“Jemputan itu diterima beberapa minggu sebelum bulan Ramadan.

“Suami saya merupakan bekas mekanik di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebelum bersara pada 2006. Panggilan haji ini kami terima atas kuota Kerajaan Negeri Johor,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini semalam.

Rohaya dan Hassan merupakan antara 142 jemaah haji yang akan mengikuti penerbangan kedua jemaah haji dari Johor. Mereka akan berlepas ke Kuala Lumpur sebelum terus berangkat ke Mekah.

Tambah Rohaya, ketika di­sahkan dijangkiti Covid-19, dia hanya berdoa agar diberikan kekuatan untuk terus melawan penyakit itu, lebih-lebih apabila suaminya turut disahkan menghidap asma.

“Alhamdulillah, usia kami masih panjang dan diberikan kesempatan untuk menyempurnakan rukun Islam kelima.

“Semua lapan anak membantu menyiapkan barangan keperluan untuk menunaikan haji tahun ini.

Mereka juga pesan agar saya menjaga ayah mereka baik-baik,” katanya yang bekerja sebagai pemandi jenazah di Masjid Pulai Utama di sini sejak 2017 lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN