SEGALANYA bermula sekitar pertengahan tahun 2009 apabila salah seorang pelanggannya yang membuat pelaburan unit amanah Islam dengannya meninggal dunia.
Sebelum ini dia menceburi kerjaya itu sekadar cuba-cuba sebagai pekerjaan baharu, namun pengalaman membantu isteri arwah yang tidak bekerja dan terpaksa membesarkan keenam-enam anak yang masih kecil meninggalkan kesan yang sangat besar buat wanita ini.
“Saya percaya, setiap isteri berhak mempunyai ilmu pewarisan harta Islam dan membuat perancangan agar kebajikan mereka dan anak-anak terjaga selepas kematian suami.
“Saya masih ingat ketika kali pertama bertemu isteri arwah pelanggan saya itu. Masih terngiang-ngiang pada telinga saya setiap bait kata yang diungkapkan balu itu.
“Kak Ida tidak tahu berapa banyak sebenarnya harta arwah Abang Din (suami) dan di mana dokumen-dokumen serta bagaimana menguruskannya.
“Kak Ida betul-betul tertekan, sedih dan bingung. Su, kamu tolonglah akak. Kak Ida tidak tahu macam mana nak meneruskan hidup dengan keenam-enem anak ini,” kata Suzana Abu Bakar, 53, tatkala mengimbas kembali detik-detik memilukan itu.
Akui wanita kelahiran Temerloh, Pahang ini, dia ketika itu masih belum mempunyai ilmu dan pengalaman besar dalam bidang pewarisan harta.
Namun, atas dasar tanggungjawab, dia nekad ambil keputusan untuk bantu isteri kepada salah seorang pelanggannya itu.
Sejak peristiwa itu juga, Suzana bukan sahaja bertekad untuk lebih serius menyebar kesedaran orang ramai untuk menyertai pelaburan bahkan berjanji untuk membantu setiap wanita terutama isteri agar mempunyai ilmu pewarisan harta Islam sekali gus berpeluang merancang sebelum segalanya terlambat.
Perkara itu nyata meninggalkan transisi yang besar buat ibu empat cahaya mata ini yang beralih dari bidang perakaunan kepada bidang pewarisan harta Islam.
Suzana mengembangkan kerjayanya dengan sukses sehingga mampu menubuhkan syarikat sendiri pada tahun 2015 serta meraih pelbagai anugerah di peringkat negara dan antarabangsa.
Antaranya, syarikatnya, Kausar Wealth Management Sdn. Bhd. (Kausar) menerima Anugerah Perintis Usahawan Malaysia (PUMAS) 2022 dan Anugerah International Finance 2024 di Emiriyah Arab Bersatu.
SUZANA asalnya berlatar belakang pendidikan dalam bidang perakaunan dengan meraih ijazah sarjana muda dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1995.
Kerjayanya bermula dalam bidang audit, termasuk pengalaman selama sembilan tahun dalam audit luar dan audit dalaman.
Pun begitu, dia melepaskan kerjayanya setelah dia memilih untuk memberi keutamaan kepada keluarga dan membesarkan keempat-empat anak sambil terus mencari ruang untuk menyumbang kepada masyarakat.
Langkah berani membawa dirinya mencuba bidang perancangan kewangan Islam secara sepenuh masa sejak tahun 2005 sebagai perunding.
Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam industri, dia kini juga merupakan seorang Perancang Kewangan Berlesen yang memegang Lesen Wakil Pasaran Modal dan Perkhidmatan Kewangan (CMSRL) daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Seiring dengan peredaran masa dan kejayaan yang diperoleh menerusi penubuhan syarikatnya, Kausar Wealth Management Sdn. Bhd. (Kausar), dia turut dinobatkan dengan pelbagai kejayaan.

Antaranya mempunyai kelayakan profesional seperti Islamic Financial Planner (IFP), Shariah Registered Financial Planner (RFPs) dan Pensijilan Mediator oleh The Accord Group Australia.
Mengukuhkan kepakarannya dalam bidang pengurusan dan kewangan Islam, dia berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan pada tahun 2023.
Begitu juga dengan pengiktirafan, pelbagai anugerah pernah diterima sepanjang dua dekad menerajui bidang itu.
Anugerah Perintis Usahawan Malaysia (PUMAS) 2022 diterima kerana diiktiraf sebagai syarikat cemerlang dalam Keusahawanan Pewarisan Harta Islam dan Anugerah International Finance 2024 di Dubai yang menobatkan syarikatnya sebagai Agensi Korporat Perancangan Pewarisan Islam Paling Inovatif di Malaysia.
Kausar juga pernah dilantik Sultan Perak sebagai rakan pelaksana gerakan kesedaran hibah negeri Perak pada 2018.
Ditanya mengenai peranan dan tugasnya yang mungkin ramai tidak tahu, Suzana memberitahu, sebagai Pengarah Eksekutif syarikat, dia memainkan peranan penting dalam merangka strategi latihan, pembangunan profesional dan kepimpinan bagi memperkasa barisan perunding pewarisan harta Islam.
Bermula daripada pemilihan perunding, sehinggalah melahirkan pemimpin yang kompeten, beretika, berwawasan, kini syarikatnya mempunyai rangkaian yang luas di dalam dan luar negara.
Berkongsi cabaran dalam tugas dan bidang diterajui, Suzana mengakui tahap kesedaran rakyat di Malaysia masih rendah mengenai pewarisan harta Islam dan itu menjadi salah satu cabarannya.

Jelasnya, berdasarkan data daripada Jabatan Statistik Malaysia tahun lalu, daripada jumlah penduduk Malaysia seramai 34 juta, dianggarkan 19.72 juta atau 58 peratus adalah umat Islam dan 10.8 juta (55 peratus) daripadanya layak untuk membuat perancangan pewarisan harta.
“Namun, hanya 3 hingga 4 peratus sahaja yang telah mengambil tindakan untuk merancang harta mereka secara sah dan patuh syariah.
“Realiti ini menunjukkan jurang yang besar antara kesedaran dan tindakan. Ramai yang masih belum memahami kepentingan pewarisan harta dan sering menangguhkan urusan ini hingga terlambat.
“Menyedari cabaran ini, syarikat telah mengambil inisiatif untuk menggerakkan pelbagai program kesedaran di semua peringkat masyarakat.
“Ini termasuk sesi taklimat dan pendidikan bersama badan bukan kerajaan, syarikat korporat, koperasi, komuniti usahawan, masjid dan surau selain institusi agama,” katanya.
Suzana berkata, dia juga banyak mendampingi para wanita menerusi ceramah pewarisan harta Islam untuk wanita dengan berkongsi ilmu tentang pewarisan harta Islam.
Tambahnya, satu lagi cabaran utama yang dihadapinya adalah kekurangan perunding terlatih dalam pewarisan harta Islam.
Ujarnya, antara punca utama kurangnya tindakan masyarakat adalah kerana kekurangan bilangan perunding pewarisan harta Islam yang bertauliah serta terlatih.
“Di Kausar, kami mempunyai hanya 1,000 perunding terlatih. Nisbah antara jumlah perunding yang aktif dengan jumlah umat Islam yang memerlukan khidmat mereka masih terlalu rendah.
“Sebagai agensi korporat terbesar di bawah Wasiyyah Shoppe Berhad, Kausar mengambil langkah strategik dengan membuka cawangan dan mengembangkan jaringan perunding di seluruh negara termasuk wilayah tengah (Lembah Klang), utara, Pantai Timur, Selatan, Sabah dan Sarawak.
“Kami menyasarkan untuk melatih dan menempatkan perunding di setiap wilayah bagi memastikan akses kepada khidmat pewarisan dapat dicapai lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.
Ditebak perancangan jangka panjang syarikat, Suzana yang memang minat berniaga sejak usia lapan tahun dengan membantu perniagaan warung kopi bapanya memberitahu setiap syarikat pasti mempunyai hala tuju tersendiri.
Baginya, untuk tempoh mendatang, syarikat optimis menambah jumlah perunding menjadi 10,000 orang dengan mempunyai 10 cawangan dengan setiap daripadanya ditempatkan 1,000 perunding aktif.
Tambahan pula, syarikat juga mahu meningkatkan pelanggan di negara yang pernah mempunyai rekod kerjasama seperti Oman, Arab Saudi, Qatar, Jerman dan Australia selain aktif meneroka pasaran baharu di luar negara.
Menutup bicara, Suzana berpesan, bergelar seorang wanita bukan penghalang untuk mencipta impian besar.
Malah, menjadi ibu dan wanita berkerjaya adalah satu anugerah yang membolehkan kita mencipta perubahan, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga keluarga, masyarakat dan negara.














