fbpx
Gambar hiasan

Caj pesakit luar RM1, patut naik atau tidak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sebelum ini penulis pernah mengulas mengenai seksanya mencari tempat letak kereta di hospital-hospital kerajaan, sama seksanya seperti menempuh kesesakan jalan raya.

Kali ini, isu kepadatan pesakit di hospital pula. Di dalam sarat dengan pesakit, di luar pula sesak dengan kenderaan.

Isu ini menarik perhatian ramai apabila ada seorang ibu yang kecewa apabila anak perempuannya berusia 22 bulan diserang sawan selepas didakwa terpaksa menunggu hampir 11 jam bagi mendapatkan rawatan di Hospital Melaka pada Sabtu lalu.

Siti Aishah Rahim, 27, mendakwa, dia membawa anak sulungnya ke Jabatan Kecemasan dan Trauma pada pukul 2.30 petang selepas badan bayinya semakin panas.

Sebaik sampai di hospital, jururawat didakwa mengambil darah, namun tiada tindakan lanjut sehingga suhu badan bayi mencecah 40 darjah Celsius.

“Saya hanya diminta tunggu sehingga anak kejang akibat sawan kira-kira pukul 1 pagi keesokan harinya. Ketika itu barulah anak saya dipindahkan ke Zon Kuning,” katanya.

Kejadian ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai. Ini bukan kejadian pertama kali berlaku, malah sudah banyak kali terjadi kepada pesakit lain.

Cuma kali ini, wanita itu berani bersuara meluahkan rasa terkilannya apabila melihat anak kecil terpaksa bertarung nyawa.

Menjengah di ruangan komen di Facebook, ramai yang bercerita pengalaman pahit berada di jabatan kecemasan hospital kerajaan. Ada yang terpaksa menunggu empat jam, lima jam, enam jam untuk mendapatkan rawatan.

Rata-rata mengakui kekurangan petugas kesihatan termasuk doktor menjadi punca utama situasi ini berlaku.

Ketika ini, petugas kesihatan bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit biarpun terpaksa mengorbankan masa mereka bersama keluarga pada hujung minggu atau cuti umum.

Pertambahan petugas kesihatan memerlukan peruntukan yang sangat besar daripada kerajaan. Itu tidak termasuk lagi kenaikan elaun mereka. Ramai yang menyokong supaya kerajaan mengkaji semula caj rawatan RM1 kepada pesakit luar.

Kata mereka, jika terus membayar sekadar RM1 sahaja, maka bersedialah dengan segala kesulitan pada masa hadapan, yang mungkin lebih teruk daripada sekarang.

Bagaimanapun, ramai juga yang membantah sebarang kenaikan caj di hospital kerajaan. Kata mereka, bukan semua orang mampu biarpun membayar RM1.

Isu kenaikan caj ini amat sensitif dan sukar untuk dibincangkan. Ramai yang membantah sekeras-kerasnya kerana kenaikan akan membebankan mereka.

Jika berfikir secara rasional, sewajarnya juga kenaikan itu perlu, tetapi bukan kepada golongan fakir miskin dan berpendapatan rendah atau B40.

Mungkin sasaran kepada mereka berpendapatan tinggi sahaja yang turut menggunakan kemudahan kerajaan. Jadi, golongan susah tidak perlu bimbang.

Kaedah terbaik perlu dilakukan agar sektor perubatan negara mampu memberikan perkhidmatan cemerlang untuk penjagaan kesihatan rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN