fbpx
Keputusan menurunkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika bertemu Takuro Hoki-Yugo Kobayashi terus menjadi perdebatan.

Tewas peringkat kumpulan jadi igauan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN kejohanan sudah pun berakhir minggu lalu, namun kekalahan skuad badminton negara di pusingan suku akhir kepada tuan rumah pada saingan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China masih dapat dirasakan.

Bagaimanapun, bukan kekalahan kepada China yang menjadi persoalan kerana memang sudah dijangka Malaysia sukar untuk melepasi halangan tersebut, sebaliknya tewas ketika bertemu Jepun di peringkat kumpulan terus menjadi igauan.

Kekalahan 2-3 kepada Jepun pada aksi terakhir peringkat Kumpulan C menjadi titik tolak kerana menjadi penentu pasukan yang akan jadi juara kumpulan dan mendapat undian lebih mudah di suku akhir.

Keputusan menurunkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika bertemu Takuro Hoki-Yugo Kobayashi terus menjadi perdebatan apabila mereka gagal menghadiahkan mata kemenangan buat Malaysia apabila tewas 21-12, 20-22, 21-23.

Kekalahan mereka menyebabkan Jepun menyamakan kedudukan 2-2 sebelum Negara Matahari Terbit itu melengkapkan kemenangan 3-2 menerusi beregu wanita, Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang menewaskan Pearly Tan-M. Thinaah 21-18, 18-21, 21-18.

Justeru, ramai yang mempertikaikan keputusan barisan kejurulatihan negara yang menurunkan Aaron-Wooi Yik sedangkan bekas juara dunia itu tidak memiliki rekod cukup baik berdepan Hoki-Kobayashi apabila tewas lapan kali dalam 10 pertemuan.

Penulis faham ia merupakan keputusan secara kolektif seperti dinyatakan Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, namun berdasarkan statistik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memiliki rekod lebih baik ke atas lawan itu.

Tambahan pula, Sze Fei-Izzuddin baru sahaja menewaskan gandingan No.20 dunia itu ketika bertemu pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China awal bulan lalu.

Justeru, sudah pasti kelebihan mental sudah memihak kepada pasukan negara sekiranya mereka diturunkan ketika bertemu Jepun baru-baru ini meskipun apa sahaja boleh berlaku di dalam gelanggang.

Perkara itu turut disuarakan legenda badminton tanah air, Datuk Razif Sidek yang agak terkejut dengan keputusan Malaysia menurunkan Aaron-Wooi Yik dalam aksi penentuan cukup penting.

“Kita tidak nafi China memang kuat dan jauh lebih seimbang berbanding kita tetapi (jika) pasukan sudah mara hingga ke separuh akhir, apa boleh berlaku.

“Kita sepatutnya boleh mengelak daripada bertemu China di peringkat awal, tetapi percaturan dibuat dalam senarai pemain ketika perlawanan bertemu Jepun boleh dipersoalkan,” katanya.

Bagaimanapun, kekalahan kepada Jepun tidak boleh diletakkan sepenuhnya ke atas Aaron-Wooi Yik yang sekadar mengikut percaturan dibuat, lebih-lebih lagi mereka sudah memberikan segala-galanya.

“Setiap kali bertemu mereka (Hoki-Kobayashi), perlawanan tidak pernah menjadi mudah walaupun mereka baru sahaja pulih daripada kecederaan. Kita sudah berikan yang terbaik untuk mencabar mereka.

“Secara keseluruhan, bukan nak cakap permainan kita sudah meningkat tetapi pada saya, kita patut menang (perlawanan itu),” ujar Aaron.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN