PETALING JAYA – Kerajaan Russia dan Malaysia sedang berusaha untuk melancarkan penerbangan terus antara kedua-dua negara
Presiden Russia, Vladimir Putin berkata, pembukaan kerjasama udara kedua-dua negara itu bakal menyumbang kepada perkembangan hubungan ekonomi dan kemanusiaan.
“Pembukaan kepada perkhidmatan udara terus antara kedua-dua negara sedang diusahakan.
“Tidak diragukan lagi usaha ini akan menyumbang kepada perkembangan hubungan perniagaan dan kemanusiaan,” kata Putin pada sidang akhbar selepas perbincangan bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Moscow hari ini yang disiarkan secara langsung.
Dalam pada itu, Anwar turut mempelawa dan mencadangkan agar syarikat penerbangan Russia, termasuk Aeroflot, memulakan semula laluan penerbangan langsung ke Malaysia secepat mungkin.
“Kita mengambil pendirian sebagai negara yang tidak memihak, dan melaksanakan peranan pusat dalam ASEAN, bagi membolehkan kita menentukan sendiri perkara yang terbaik untuk Malaysia dan rakyatnya,” kata beliau pada sidang akhbar sama.
Aeroflot, beroperasi selama lebih 100 tahun dan menjadi antara jenama Rusia yang paling terkemuka, ialah syarikat penerbangan terbesar Rusia, yang meliputi syarikat penerbangan Rossiya dan Pobeda.
Aeroflot Group ialah peneraju penerbangan komersial Rusia yang tidak dapat dipertikaikan.
Pada 2024, Aeroflot sahaja membawa 30.1 juta penumpang, dan sebanyak 55.3 juta penumpang jika termasuk menerusi syarikat penerbangan Aeroflot Group. – KOSMO! ONLINE.