fbpx

Pekerja kedai serbaneka cemas, penyamun bertopeng acu pistol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian sebuah kedai serbaneka yang cuba disamun seorang lelaki di Jalan Hamzah, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di Jalan Hamzah di sini berdepan detik cemas selepas diacu sepucuk pistol oleh lelaki yang dipercayai cuba menyamun premis tersebut hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an berada di dalam pejabat kedai serbaneka itu sebelum menyedari pintu bilik itu diketuk oleh seseorang.

Rakan sekerja kepada mangsa berkata, rakannya itu membuka pintu bilik tersebut sebelum melihat seorang lelaki bertopeng yang terus mengacukan sepucuk pistol ke arahnya.

Menurutnya, mangsa yang terkejut terus menutup pintu dan mengunci dari dalam sebelum menghubungi polis.

“Tiada pelanggan ketika itu dan rakan saya berada di dalam pejabat kedai ini. Saya pula masuk untuk bekerja bermula syif pukul 7 pagi, manakala mangsa pula sudah bekerja pada waktu tengah malam tadi.

“Suspek sempat menyelongkar mesin juruwang, namun tidak sempat melarikan barangan berharga di dalam premis ini. Tiada sebarang kerugian dan kehilangan barangan yang berlaku semasa kejadian,” katanya ketika ditemui di kedai serbaneka itu hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat ketika dihubungi mengesahkan penangkapan dua lelaki termasuk seorang orang kurang upaya lembam yang dipercayai terlibat dengan kejadian samun di kedai serbaneka tersebut hari ini. Kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 20-an ditahan untuk membantu siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI