fbpx

Lelaki ditemui terapung di Tasik Astana Alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki ditemui terapung di Tasik Astana Alam, pagi semalam. Foto IHSAN POLIS

SUNGAI BULOH – Seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terapung di Tasik Astana Alam, Bandar Puncak Alam di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.45 pagi dan sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati seorang lelaki ditemui terapung berhampiran tebing tasik dan disahkan telah meninggal dunia.

“Sebelum itu, isteri kepada mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Saujana pada pukul 12.20 pagi memaklumkan suaminya keluar rumah dalam keadaan tidak terurus pada 10 Mei lalu kira-kira pukul 5 pagi,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mangsa berusia 31 tahun dan bekerja sebagai ejen hartanah secara sambilan.

Menurut Mohd. Hafiz, siasatan awal turut mendapati tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Fuzi Kamazan di talian 012-3818167 atau hadir ke balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI