PENGURUSAN tertinggi Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) sudah menyediakan dua padang buat skuad Liga Super Kuala Lumpur City FC (KL City) dan tidak lagi ‘merempat’ menjalani latihan seperti musim sebelum ini.
Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar berkata, ketika ini padang terletak di Pudu Ulu sedang dibaik pulih dan pihaknya juga menyediakan padang latihan berbeza yang khusus buat skuad bawah umur.
“Pusat latihan tetap sama di Pudu Ulu tetapi kali ini kita ada sebelah lagi yang sedang dibaik pulih. Dua padang latihan untuk Liga Super, bagi Piala Belia dan Piala Presiden di tempat lain kerana kita tidak mahu campurkan mereka.
“Saya memang berbincang dengan exco di mana kita pasukan Kuala Lumpur akan berlatih di Kuala Lumpur City, tidak ada lagi macam sebelum ini berlatih di Selangor,” katanya.
Dalam masa sama, Syed Yazid menjelaskan perhatian utama pengurusan KLFA tidak hanya tertumpu kepada persiapan pasukan untuk mengharungi musim baharu tetapi tetap berusaha untuk melunaskan tunggakan sebelum ini.
Katanya, pihaknya tidak pernah melepaskan tangan kerana sedar hutang perlu dilunaskan walaupun segala tunggakan itu berlaku sebelum pucuk pimpinan baharu dilantik.
“Selepas pengurusan baharu ambil alih, Alhamdulillah setiap bulan kita bayar gaji tanpa ada tunggakan. Tunggakan sebelum ini pun kita akan selesaikan di mana ia akan dilakukan secara berjadual,” katanya.