SEBERANG PERAI – “Saya kecewa, jangan aniaya saya”.
Demikian menurut bintang bola sepak Selangor FC, Faisal Halim atau lebih mesra disapa Mikey apabila mengulas mengenai keputusan Jabatan Peguam Negara yang mengklasifikasi kes serangan simbah asid ke atasnya pada 5 Mei tahun lalu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Akui Faisal, meskipun perkara hitam yang berlaku terhadap dirinya sudahpun berlalu namun sehingga saat ini dia masih sukar untuk memadamkan dalam ingatan.
“Benda pun dah lepas saya berharap sangat berilah saya kembali dalam bola sepak, dalam kancah bola sepak.
“Kalau ada ada yang tak kena dengan saya beritahu dengan saya, jangan aniaya sayalah. Saya tak ada salah silap dengan siapa-siapa.
“Saya rasa lah kalau kita ada buat salah silap apa-apa semua kita beritahu lah kan daripada buat saya macam ni.Saya ada keluarga untuk ditanggung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui Pada Kejohanan Terbuka U12 Piala Faisal Halim 2025 di Mengkuang Titi, pagi tadi.
Menurut anak kelahiran Mengkuang Titi itu lagi, beliau kini hanya mahu memfokuskan karier bola sepaknya dan enggan lagi menoleh ke belakang.
“Saya hanya mahu fokus kerjaya saya dan tak nak fikir lagi pasal kes ke… pasal NFA ke…Itu terpulang. Semua tanggungjawab pihak atasan, pihak polis.
“Daripada pihak saya, saya pun tak tahu saya tak pasti sama ada saya boleh terima dengan keadaan sekarang,” jelasnya.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan kes simbah asid melibatkan Faisal Halim yang pernah menggegarkan negara pada Mei tahun lalu akhirnya diklasifikasi sebagai NFA.
Peguam Nik Zarith Nik Moustpha berkata, perkara itu dimaklumkan Jabatan Peguam Negara menerusi satu surat bertarikh 18 Februari 2025. -KOSMO! ONLINE